Hasrat Sri Pahang melakar kemenangan ketiga dalam Liga Super musim ini, tidak kesampaian setelah diikat Kedah 1-1 pada Sabtu.
Sri Pahang begitu hampir dengan kemenangan apabila mendahului menerusi jaringan sepakan penalti Stefano Brundo pada minit ke-62, namun berputih mata apabila Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Jonathan Boareto.
Sri Pahang bagaimanapun mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam enam perlawanan manakala bagi Kedah ini adalah keputusan seri pertama mereka musim ini.
Satu mata yang diraih menyaksikan Sri Pahang kini mengutip 10 mata namun kekal menghuni tangga kelima manakala Kedah pula di tangga keempat dengan 13 mata.
Dalam aksi di hadapan lebih 7,000 penyokong di Stadium Darulmakmur, kedua-dua pasukan mengambil masa lama untuk menemui rentak permainan masing-masing.
Pasukan pelawat dilihat lebih banyak mencipta situasi cemas dengan beberapa gerakan ke dalam kotak penalti, namun dipatahkan pertahanan Sri Pahang dikemudi Michael John Glassock.
Peluang terbaik Kedah untuk memecah kebuntuan hadir menerusi percubaan Amirbek Juraboev pada minit ke-20 namun rembatannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar.
Skuad tok gajah pula meraih peluang terbaik menerusi tandukan pemain import Lucas Rodriguez yang membuat penampilan pertamanya musim ini, pada minit ke-40.
Terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Sri Pahang tampil lebih agresif di babak kedua dan menerusi satu gerakan kreatif pada minit ke-61, berjaya mendapatkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan pemain lawan.
Brundo menewaskan Kalamullah Al-Hafiz di gawang Kedah untuk gol ketiga peribadinya musim ini.
Kedah cuba bangkit selepas itu, namun mendapati sukar untuk menembusi kekebalan pertahanan Sri Pahang. Malah tuan rumah hampir menggandakan kedudukan apabila dihadiahkan satu lagi penalti pada minit ke-84 tetapi tendangan Lucas jauh melewati palang.
Ketika perlawanan hampir tamat, Boareto atau dikenali Balotelli menewaskan Izham Tarmizi di gawang Sri Pahang lantas menyaksikan perlawanan berkesudahan seri.