JDT cemerlang menewaskan cabaran Kelantan Darul Naim dengan penuh bergaya di Stadium Sultan Ibrahim apabila merekodkan jaringan besar 6-1.
Hector Bidoglio mempertaruhkan barisan pemain hebat seperti Bergson, Park Jun-heong, Romel Morales, Nazmi Faiz, Arif Aiman serta kapten pasukan, Jordi Amat bagi aksi menentang Kelantan DN.
Park Jae-hong pula menurunkan kesebelasan utama terbaik pasukan yang dibarisi oleh Fikri Che Soh, Kim Li-kwan, Layth Kharoub, Ghaffar Rahman serta Hakimi Abdullah.
JDT mempamerkan aksi dominan ke atas Kelantan DN namun terpaksa menunggu minit ke-42 untuk gol pembukaan menerusi jaringan Bergson Da Silva.
Dua minit kemudian Bergson sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol Fikri Che Soh setelah menyempurnakan bola hantaran Heberty dalam kawasan kotak penalti.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan JDT selesa mendahului Kelantan DN 2-0 hasil dua jaringan daripada Bergson.
Memasuki babak kedua perlawanan, giliran Arif Aiman menambah duka Kelantan DN apabila menghadiahkan gol ketiga JDT pada minit ke-55 perlawanan.
Arif Aiman sekali lagi mempamerkan ketajaman beliau dihadapan pintu gol menerusi gol keempat buat JDT selang dua minit kemudian.
Kelantan DN cuba untuk mengurangkan defisit jaringan dan berjaya meraih gol pertama hasil jaringan Layth Kharoub pada minit ke-65 perlawanan.
Bergson terus mengganas apabila berjaya meledak hatrik yang merupakan gol kelima buat JDT pada minit ke-71 perlawanan.
Aksi serba-serbi tidak menjadi buat pasukan kendalian Park Jae-hong apabila dibolosi kali keenam setelah Umeir Aznan menjaringkan gol sendiri pada minit ke-75.
Wisel penamat berbunyi menyaksikan JDT gah merekodkan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Kelantan Darul Naim untuk meraih tiga mata berharga dalam saingan Liga Super.
JDT kini kekal di tangga pertama Liga Super dengan mengutip 28 mata dalam 10 perlawanan manakala Kelantan DN berada di kedudukan terakhir liga dengan meraih tiga mata dalam 10 perlawanan Liga Super.
JDT seterusnya akan menentang Kuching City manakala Kelantan DN akan bertemu cabaran Negeri Sembilan pada 27 September ini bagi saingan Liga Super 2024/2025.