JDT terus gah mengungguli carta pertama Liga Super apabila mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas pasukan Kuching City.
Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan JDT kini mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan liga berturut-turut.
Hector Bidoglio menurunkan barisan pertahanan ampuh yang dibarisi Oscar Arribas, Feroz Baharudin, Jordi Amat, Mat Davies manakala Arif Aiman bersama-sama Enzo Lombardo dan Jorge Obregon mengetuai jentera serangan.
Aidil Sharin pula menagih kudrat trio serangan Shamie Iszuan, Pedro Henrique dan Moses Atede manakala James Okwuosa diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten.
Kuching City turun dengan penuh semangat pada babak pertama apabila berjaya melancarkan beberapa siri serangan ke atas pertahanan JDT namun gagal menerjah jaring.
JDT berjaya menyerap serangan daripada lawan dan turut mempunyai beberapa peluang untuk meraih gol namun keputusan separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan.
Memasuki babak kedua, JDT pantas mengubah kedudukan apabila meraih gol pertama perlawanan hasil tandukan daripada Bergson pada minit ke-48.
Giliran Juan Muniz menceriakan para penyokong tuan rumah apabila merekodkan jaringan kedua buat JDT ketika perlawanan memasuki minit ke-82.
Kuching City cuba untuk bangkit menerusi jaringan Luiz Fernando Welter pada minit ke-84 namun perlawanan sudah menghampiri wisel penamat.
Perlawanan tamat dengan kemenangan berpihak kepada JDT dengan jaringan 2-1 ke atas Kuching City.
Kuching City kini berada di tangga ke-5 liga setelah mengumpul 14 mata dalam dalam 11 perlawanan Liga Super.
JDT seterusnya akan menentang Perak pada 5 Oktober kelak bagi aksi Liga Super namun sebelum itu pasukan Harimau Selatan akan menerima kunjungan Shanghai Shenhua pada 1 Oktober bagi aksi kedua Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Kuching City pula akan melawan Negeri Sembilan pada 18 Oktober kelak di Stadium Negeri Sarawak bagi saingan Liga Super.