JDT menundukkan pasukan tuan rumah, Penang dengan keputusan 4-0 dalam aksi minggu ke-19 saingan Liga Super musim 2025/26 di Stadium Bandaraya pada Jumaat.
Penang membariskan Ramdhan Hamid di benteng terakhir dengan Stefano Brundo menggalas lilitan kapten manakala Chia Ruo Han sebagai ayam tambatan pasukan.
Sementara itu, Harimau Selatan menurunkan Syihan Hazmi di posisi penjaga gol dan gandingan berbisa Bergson da Silva & Marcos Guilherme mengemudi jentera serangan JDT.
JDT bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Harimau Kumbang pada awal minit babak pertama.
Marcos Guilherme meletakkan Harimau Selatan berada di hadapan pada minit ke-6 sekali gus menceriakan kem pasukan beliau pada awal separuh masa pertama.
Ayam tambatan Penang, Chia Ruo Han turut melakukan satu gerakan lincah bagi mengucar kacirkan barisan pertahanan JDT namun Oscar Arribas berjaya mematahkan percubaan tersebut.
Bergson da Silva menambah derita pasukan tuan rumah, Penang dengan meledak gol kedua perlawanan hasil bantuan jaringan cantik oleh Oscar Arribas pada minit ke-35.
Penang tampak bangkit dengan melancarkan beberapa serangan menerusi Dylan Wenzel-Halls namun percubaan beliau berjaya diselamatkan oleh Syihan Hazmi.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-2 memihak kepada pasukan pelawat, JDT.
Memasuki babak kedua, Harimau Selatan dilihat meningkatkan intensiti permainan dalam usaha memburu gol tambahan meskipun beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan.
JDT terus-menerus melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang yang dikawal Ramdhan Hamid, namun beliau berjaya menyelamatkan percubaan tersebut.
Bergson da Silva meledak gol ketiga selepas menerima umpanan cantik daripada pemain gantian, Joao Figueiredo, sekali gus melebarkan jurang jaringan kepada tiga gol pada minit ke-68.
Penang terpaksa mengeluarkan penjaga gol, Ramdhan Hamid, dan memasukkan Khairulazhan Khalid selepas beliau mengalami kecederaan akibat pelanggaran dengan Manuel Hidalgo.
Oscar Arribas melengkapkan kemenangan bergaya buat JDT apabila menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan babak kedua.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 0-4 yang memihak kepada pasukan pelawat, JDT.