Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 apabila menewaskan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Harimau Selatan kini memerlukan dua kemenangan untuk menambah satu lagi koleksi kejuaraan liga. The Cops pula mahu mengulangi kejayaan mengikat JDT 1-1 di Selayang pada 31 Julai 2024.
JDT menurunkan enam tonggak import termasuk penjaring terbanyak Liga Super, Bergson da Silva. Bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md. Fauzi mengetuai jentera serangan PDRM.
Separuh masa pertama menyaksikan Harimau Selatan berusaha mencari gol awal menerusi Bergson, Heberty Fernandes, Arif Aiman Hanapi dan Jorge Obregon.
Obregon hampir meletakkan tuan rumah seawal minit keempat. Walau bagaimanapun, hantaran deras yang dibuat Heberty dipintas Robson Rendy Rining sebelum sempat ditanduk penyerang Colombia itu.
JDT akhirnya membuka tirai jaringan menerusi Obregon pada minit ke-14. Gol tersebut mengakhiri kemarau gol beliau sejak aksi menentang Negeri Sembilan FC pada 1 November lalu.
Obregon kemudiannya terpaksa dikeluarkan oleh jurulatih Harimau Selatan, Hector Bidoglio akibat kecederaan. Bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez dibawa masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-27.
JDT terus melebarkan kelebihan mereka kali ini menerusi Corbin Ong. Bek kiri Harimau Malaya itu mudah menyempurnakan hantaran Jordi Amat pada minit ke-38.
Shahrel hampir merapatkan jurang buat The Cops pada minit ke-44 menerusi satu serangan balas pantas. Malangnya, Syihan Hazmi Mohamed bertindak pantas menangkap bola sebelum sempat dikejar bekas penyerang Selangor FC itu.
JDT terus berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Bidoglio membuat satu lagi pertukaran dengan memasukkan penyerang kebangsaan, Romel Morales menggantikan Arif.
Jese melebarkan kelebihan buat tuan rumah pada minit ke-54. Park Jun-heong melakukan larian dari sebelah kiri sebelum membuat hantaran yang disudahkan bekas penyerang Stoke City itu.
Empat minit selepas itu, Heberty hampir menambah gol keempat Harimau Selatan menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Robson.
Pengendali PDRM, P. Maniam memasukkan Ifedayo Olusegun dan Hadi Fayyadh untuk mengubah momentum perlawanan tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, Morales menyumbat gol keenam beliau dalam Liga Super pada minit ke-81. Bekas penyerang KL City itu menyudahkan percubaan susulannya yang menewaskan Robson.
Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT mengumpul 55 mata di tampuk liga dengan PDRM di tangga ke-27 selepas mengumpul 21 mata.
JDT kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Central Coast Mariners pada 11 Februari. The Cops pula fokus kepada aksi final pertama MFL Challenge Cup pada 15 Februari.