Advertisement
Liga Super: JDT Kekal Rekod Kebal Tewaskan Sri Pahang
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang merupakan dua pasukan yang masih belum kalah dalam Liga Super musim ini, ramai menjangkakan perlawanan hari ini sebagai sukar. Dan itu yang terpaksa dilalui Harimau Selatan sebelum berjaya mengalahkan skuad Tok Gajah 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Dalam sidang media Sri Pahang yang lepas, jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad secara berseloroh mahu meletakkan treler di hadapan gawang mereka bila menentang JDT. Dan hari ini, anak-anak buahnya bekerja sebagai satu unit mempertahankan bahagian mereka daripada dibolosi barisan serangan JDT.

Kerja keras dan disiplin tinggi yang dipamerkan mereka mengakibatkan tuan rumah bergelut menembusi barisan pertahanan Tok Gajah diketuai kapten Fadhli Shas. Ini memaksa Harimau Selatan terpaksa menyepak dari jarak jauh bagi menguji kecekapan penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin.

Dengan penyokong-penyokong Harimau Selatan makin tak senang duduk, Bergson da Silva memecah kebuntuan tuan rumah pada minit ke-47 sebelum rehat separuh masa. Penyerang Brazil itu mudah menyempurnakan hantaran rakan sepasukan Fernando Forestieri menewaskan Zarif Irfan.

Dengan keputusan 1-0 semasa rehat, jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari tahu anak-anak buahnya perlu mencari gol tambahan dalam separuh masa kedua. Justeru, JDT berusaha menggandakan asakan selepas rehat.

Malangnya, anak-anak buah Fandi terus mengekalkan disiplin pertahanan mereka biarpun dibolosi satu gol. Ini memaksa JDT kembali menguji Zarif Irfan menerusi percubaan jarak jauh dengan sesetengah percubaan langsung tak menepati sasaran.

Dalam kesibukan tuan rumah memburu gol, Sri Pahang hampir mendapat gol pada minit ke-64 menerusi satu percubaan jarak jauh. Bagaimanapun, penjaga gol JDT, Syihan Hazmi Mohamed lega percubaan tersebut tidak membolosi gawangnya.

Harimau Selatan makin cemas apabila David Rowley menanduk bola ke arah gol mereka pada minit ke-70. Bagaimanapun, penyokong tuan rumah merasa lega kerana tandukan lemah Rowley berjaya disambut Syihan.

Melihat pasukannya berdepan kesukaran menembusi pertahanan Tok Gajah, Solari memasukkan Juan Muniz menggantikan Leandro Velasquez. Pertukaran tersebut membuahkan hasil apabila Forestieri menyumbat gol ke-13 dalam liga musim ini menerusi satu rembatan lencong dari luar kotak penalti.

Di sebalik usaha kedua-dua pasukan memburu gol, keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan kekalahan ini, Sri Pahang kekal di tangga ketiga dengan 25 mata. Manakala Harimau Selatan terus gah di persada liga dengan 36 mata.

JDT bakal mengharungi pusingan suku akhir Piala FA menentang Penang pada 28 Mei sebelum menentang lawan sama untuk Liga Super pada 3 Jun. Manakala Sri Pahang berdepan tugas sukar menentang KL City di Stadium Darul Makmur pada 4 Jun.