Liga Super: Johor Darul Ta’zim Gah Di Puncak Liga Mudah ‘Ratah’ PJ City
Liga Super
Advertisements

Pasukan tuan rumah Petaling Jaya City FC (PJ City) berhadapan tugas getir melayan kunjungan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ sebentar tadi. JDT yang turun tanpa kelibat pemain sayap lincah mereka, Gonzalo Cabrera kelihatan tetap berbahaya dengan kehadiran Arif Aiman dan penjaring terbanyak mereka, Bergson da Silva.

Manakala PJ City yang dibarisi 100% anak tempatan turun tanpa penyerang tulen dan meletakkan Khyril Muhymeen sebagai penggempur bersama kapten mereka, Mahali Jasuli. Bekas penjaga gol Harimau Muda, Ahmad Syihan Hazmi diberi peranan menjadi benteng terakhir buat PJ City.

Perlawanan berlangsung dengan JDT banyak mengatur serangan dari sebelah sayap kanan dan kiri mereka seperti selalunya dan pasukan PJ City mengalami kesukaran untuk mengawal bola untuk tempoh masa yang panjang dek kerana  tekanan yang pantas dilakukan pemain JDT.

Advertisements

Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-23 apabila Bergson yang menggelecek pertahanan sebelum melepaskan rembatan leret namun sedikit tersasar ke kanan gawang gol. Selang 3 minit selepas itu, JDT berjaya menjaringkan gol pendahuluan. Ianya bermula dari gerakan Arif Aiman di sayap kiri yang berlari menyusup ke kotak penalti lalu membuat satu hantaran deras mencari Bergson yang mudah melakukan ‘tap-in’ ke gawang PJ City untuk JDT mendahului 1-0.

JDT terus melakukan serangan bertali arus ke kubu PJ City dan hampir menggandakan kedudukan pada minit-36 apabila Leandro yang menerima bola di kawasan penalti melakukan cubaan namun cubaan beliau sedikit tersasar ke kiri gawang PJ City.

Separuh masa pertama ditamatkan dengan JDT mendahului tuan rumah PJ City dengan kedudukan 1-0.

Advertisements

Bersambung babak kedua, JDT berjaya mengawal tempo permainan dengan bertukar-tukar hantaran pendek dan PJ City menanti untuk melakukan serangan balas. Kesungguhan pemain PJ City pada babak kedua perlu diberikan pujian kerana mereka berjaya memegang bola dengan lebih lama dan semakin berkeyakinan untuk mengatur serangan terutamanya melalui Mahali Jasuli.

Walaupun PJ City kelihatan kerap berjaya memecah pertahanan JDT, namun tiada percubaan merbahaya untuk mereka menguji Farizal Marlias di pintu gol JDT. Kedua-dua pasukan bertukar-tukar arah serangan dari segenap sudut namun buntu mencari jaringan.

JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-79 hasil sepakan percuma dari Natxo Insa berjaya mencari kepala Mauricio dalam kotak penalti namun tandukan bekas pemain Lazio itu sedikit tersasar.

Advertisements

Selepas siri serangan yang semakin mengancam, akhirnya JDT berjaya menambah kedukaan anak buah P.Maniam apabila Sumareh menjaringkan gol kedua JDT pada minit ke-83. Segalanya bermula melalui pemain gantian, Akhyar Rashid yang melakukan hantaran ‘outside foot’ menarik mencari Sumareh di sayap kanan. Sumareh yang menerima bola itu dengan mudah merembat masuk menewaskan Ahmad Syihan Hazmi di gawang PJ City menjadikan kedudukan JDT mendahului PJ City 2-0.

Sumareh hampir menambah koleksi jaringan pada minit ke-90 namun rembatan deras beliau berjaya ditepis oleh penjaga gol walaupun hanya berhadapan dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol.

Perlawanan ditamatkan oleh pengadil selepas 4 minit masa tambahan sekaligus JDT membawa pulang 3 mata penting bagi terus menakluki carta Liga Super musim ini. Manakala kekalahan PJ City ini menyaksikan mereka kekal berada di tangga ke-8 liga dan dijarakkan 5 mata dari zon penyingkiran.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram