Liga Super: Johor Darul Ta’zim Tiada Tandingan, Mudah ‘Benam’ Sri Pahang
Liga Super
Advertisements

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Ibrahim ini pastinya menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak Malaysia kerana ianya menentukan sama ada Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu menjulang kejuaraan lebih awal atau sebaliknya. Manakala Sri Pahang turun malam ini dengan satu tujuan iaitu  mencuri sekurang-kurangnya satu mata untuk menjarakkan diri dari zon penyingkiran

JDT memulakan perlawanan dengan Safawi Rasid di bangku simpanan. Tempatnya diambil alih Arif Aiman yang beraksi cemerlang musim ini. Trio tengah JDT menggandingkan Safiq Rahim, Natxo Insa dan Leandro Velazquez. Manakala buat Sri Pahang, mereka kembali menurunkan penyerang utama mereka Kenny Athiu. Manuel Hidalgo sekali lagi diberi peranan untuk mengkucar-kacirkan pertahanan JDT.

Seawal minit ke-8, JDT berjaya mendahului menerusi jaringan Bergson da Silva gara-gara kesilapan pertahanan Sri Pahang yang membuat hantaran ke belakang. Bergson yang menerima bola itu, berjaya melepasi 3 pertahanan lawan lalu merembat leret menggunakan kaki kiri menewaskan Daniel Wafiuddin di gawang Sri Pahang.

Advertisements

Peluang terbaik Sri Pahang hadir pada minit ke-15 selepas mendapat sepakan percuma. Namun sepakan yang diambil oleh Hidalgo itu tepat kepada Farizal Marlias. Kawalan bola terus memihak kepada JDT dari segenap posisi dan Bergson hampir menjarakkan kedududukan pada minit ke-16 melalui sepakan percuma namun rembatan beliau tepat kepada penjaga gol.

Pada minit ke-30, Safiq Rahim hampir membuka akaun jaringan bersama JDT namun rembatan lencongnya sedikit tersasar di kanan gawang gol.

JDT akhirnya menjarakkan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-41 sekali lagi melalui Bergson. Gol itu berpunca dari kreativiti Safiq Rahim yang membuat satu ‘killer pass’ ke kotak penalti mencari Bergson. Bergson yang menerima bola itu berjaya membuat satu cip menewaskan penjaga gol.

Advertisements

Bergson tidak menunggu lama untuk hatrik beliau malam ini dan yang kedua untuk musim ini selepas selang 4 minit iaitu pada minit ke-45, permainan satu dua menarik Bergson dan Cabrera akhirnya berjaya diterjemahkan dengan jaringan Bergson sekali gus menjadikan kedudukan JDT mendahului Sri Pahang 3-0 sebelum wisel separuh masa pertama ditiupkan.

Pasukan Sri Pahang pastinya merindui gandingan Herold Goulon dan Muslim Ahmad. Ini kerana benteng mereka kelihatan sangat rapuh apabila gagal merantai trio serangan JDT dengan baik.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang dilihat semakin agresif dalam 10 minit pertama untuk mencari gol melalui variasi serangan dari Manuel Hidalgo dan Kenny Athiu namun kecemerlangan Farizal berjaya menafikan gol buat Sri Pahang.

Advertisements

Pada minit ke-59, Natxo Insa hampir menambah jaringan buat JDT namun rembatannya tepat ke dakapan Daniel Wafiuddin. Selang seminit, Bergson mempunyai peluang terbaik untuk menambah jaringan namun rembatan beliau menggegar palang selepas hantaran menarik dari Natxo Insa.

Perlawanan semakin rancak dengan serangan dari kedua-dua pasukan. Sri Pahang hampir mendapatkan jaringan pada minit ke-71 selepas mendapat sepakan percuma. Sepakan yang diambil oleh Hidalgo berjaya mendapatkan Ashar di kotak penalti namun tandukannya sedikit tersasar ke kiri gawang.

Kenny Athiu sekali mendapat peluang keemasan pada minit ke-75 namun kuisan beliau yang sangat lemah itu berjaya ditangkap kemas Farizal. Syafiq Ahmad yang masuk menggantikan Safiq Rahim, juga berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-81 namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol. Selepas itu perlawanan rancak dengan variasi serangan dari kedua-dua pasukan namun buntu untuk mencari gol. Perlawanan tamat dengan JDT mudah menang ke atas Sri Pahang 3-0.

Advertisements

Kemenangan JDT malam ini menjadikan JDT juara Liga Super buat kali ke-8 berturut-turut walaupun perlawanan masih berbaki 2 perlawanan lagi. Sri Pahang pula kekal berada di tangga ke-10 liga dari 12 pasukan bertanding.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram