Pertarungan derbi utara dalam aksi Liga Super pada Rabu menyaksikan Kedah Darul Aman berjaya menumbangkan Penang di laman sendiri.
Aksi ini menjadi tumpuan ramai dengan Kedah masih buntu mencari 3 mata dalam 4 aksi Liga Super manakala Penang pula hanya mencatat 1 kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir.
Jentera serangan Kedah pada aksi ini ditunjangi oleh Milos Gordic sementara 2 tonggak kebangsaan, Adib Raop serta Syamer Kutty kembali memperkuat senarai pemain Penang.
Seawal minit ke-9, Kedah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Sukhrob Nurulloev yang berhasil memperdayakan Richmond Ankrah sebelum menewaskan Sikh Izhan di pintu gol Penang.
Aksi bertambah hangat selepas itu dengan pelawat mula bangkit merencana serangan dengan Syamer Kutty dan Dylan Wenzel-Halls memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan.
Pintu gol Kedah yang dikawal oleh Wan Syazmin terus kekal utuh ditambah dengan aksi cemerlang benteng pertahanan diketuai oleh Cleylton sekaligus menghampakan usaha keras Penang.
Separuh masa pertama tamat, Kedah Darul Aman 1-0 Penang.
Kembali dari bilik persalinan, Wan Rohaimi melakukan 3 pertukaran dalam usaha skuad Harimau Kumbang untuk memburu jaringan penyamaan di babak yang kedua.
Masa semakin suntuk buat Penang yang semakin terdesak mencari gol tatkala Kedah Darul Aman pula berusaha untuk mempertahankan kedudukan sehingga tamat permainan.
Aksi di Stadium Darul Aman berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Kedah.
Ujian seterusnya buat kedua-dua pasukan adalah dalam saingan MFL Challenge Cup dengan Kedah berdepan KL Rovers manakala Penang pula bakal menentang PT Athletics.