Liga Super: Kedah Catat Kemenangan Ke Atas Penang
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC
Advertisements

Walaupun terpaksa bermain dengan 10 orang, itu tidak menghalang Kedah daripada mencatatkan kemenangan ke atas Penang dalam perlawanan ‘derby’ utara tanah air di Stadium Darul Aman hari ini.

Walaupun turun sebagai pasukan pelawat, anak-anak buah Manzoor Azwira Abdul Wahid langsung tidak gentar dengan tuan rumah. Malah, mereka sudah menguji gawang Kedah seawal minit pertama menerusi Sonny Saad tetapi percubaannya tidak menepati sasaran.

Advertisements

11 minit selepas itu, giliran Adib Abdul Ra’op menguji Kalamullah Al-Hafiz tetapi percubaannya dinafikan penjaga gol kebangsaan itu. Kepantasan Adib di sayap kiri memberi masalah kepada bek kanan Kedah, Heshamudin Ahmad.

Justeru, tidak hairanlah Nafuzi membuat pertukaran awal dengan memasukkan Wan Amirul Afiq menggantikan Heshamudin bagi menutup ketirisan di bek kanan. Kedah kemudiannya mendahului pada minit ke-14 menerusi Al-Hafiz Harun tetapi ia dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Advertisements

Dengan jentera serangan Kenari diketuai Willian Lira buntu mengatasi benteng pertahanan pelawat diketuai Rafael Vitor, keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Kedah berusaha memburu gol pembukaan. Peluang terbaik mereka hadir menerusi kapten Manuel Ott pada minit ke-53 tetapi dia gagal menyempurnakan hantaran Lee Tuck berikutan keadaan padang yang licin akibat hujan lebat di Stadium Darul Aman.

Advertisements

Kedah terus berdepan kesukaran apabila Wan Amirul Afiq dibuang padang pada minit ke-53 selepas mengutip kad kuning kedua. Harimau Kumbang segera memasukkan Rahmat Makasuf bagi memanfaatkan kelebihan 11 pemain yang dimiliki mereka.

Tetapi sebaliknya, Kenari yang lebih bersungguh-sungguh memburu gol. Dan hasilnya pada minit ke-64, Willian menyumbat gol pertama untuk tuan rumah sebelum meraikan gol tersebut dengan memeluk Nafuzi. Ini sebagai membalas kepercayaan beliau yang terus mempercayainya sebagai penyerang utama Kedah.

Advertisements

Tersentak, skuad Harimau Kumbang cuba bangkit memburu gol penyamaan. Tetapi mereka bernasib baik apabila percubaan jarak jauh Jonathan Balotelli pada minit ke-84 tidak mengenai sasaran.

Di sebalik cubaan Penang memburu gol penyamaan, Kedah mempertahankan kemenangan 1-0 sehingga wisel penamat. Dengan kemenangan ini, Kenari memintas Selangor ke tangga kedua liga dengan 16 mata. Manakala Penang pula jatuh ke tangga ke-10 dengan lima mata.

Advertisements

Selepas ini, Kedah bakal turun ke Stadium Sultan Ibrahim untuk menentang Johor Darul Ta’zim pada Ahad ini. Manakala Manzoor pasti berharap anak-anak buahnya dapat menjadikan PDRM sebagai sasaran lepas geram pada hari yang sama.

News Comments Account