Menjelang aksi terbaru Liga Super antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan Negeri Sembilan FC, kelebihan tampak memihak pasukan utara tanah air itu.
Ini berdasarkan rekod pertemuan lalu membabitkan kedua-dua pasukan dalam 10 perlawanan. Mengikut rekod, Kedah berjaya menewaskan skuad Rusa sebanyak enam kali, dua kali seri dan hanya tewas dua kali.
Dua kekalahan ini direkodkan dalam Liga Super dan Piala Malaysia 2022. Kekalahan pertama Kedah di tangan Negeri Sembilan direkodkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 8 Oktober 2022.
Skuad Rusa yang ketika itu dibimbing K. Devan merekodkan kemenangan tipis 4-3 ke atas Sang Kenari. Gustavo Almeida, Matheus Alves dan Sean Selvaraj mencipta nama sebagai penjaring.
Sementara Kedah yang ketika itu dibimbing Aidil Sharin Sahak pula membalas menerusi Sanrawat Dechmitr, Mahmoud Al-Mardi dan Marc Vales.
Cubaan Sang Kenari menebus kehampaan di tangan skuad Rusa tidak kesampaian apabila tewas lagi dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia pada 20 Oktober 2022.
Meskipun mendahului menerusi Fayadh Zulkifli, Negeri Sembilan meraih kemenangan menerusi jaringan Che Rashid Che Halim dan Alves.
Sejak itu, skuad Rusa bergelut untuk mencipta sebarang kemenangan ke atas Kedah. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah aksi Liga Super pada 28 Oktober 2023.
Sang Kenari meraih kemenangan 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Tiga gol Kedah disumbang oleh Manuel Ott, Amirbek Juraboev dan Ifedayo Olusegun.
Meskipun kedua-dua pasukan hanya meledakkan enam jaringan dalam liga musim 2024/25, Kedah memiliki rekod bolos jauh lebih baik dengan 10 gol berbanding Negeri Sembilan (17 gol).
Aksi ini dijangka lebih hangat selepas Azzmi Aziz dilaporkan tidak mengikut rombongan skuad Rusa untuk perlawanan menentang Sang Kenari. Peranan beliau untuk perlawanan itu bakal dipangku penolong jurulatih, K. Nanthakumar.
Kedua-dua pasukan dijangka ghairah memburu tiga mata penuh selepas tewas kepada lawan masing-masing pada minggu lalu. Kedah dibelasah 6-0 oleh Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dengan Negeri Sembilan pula tunduk 2-1 kepada PDRM FC.
Kedah dan Negeri Sembilan bakal berentap di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 17 Ogos ini.