Selepas kekalahan mengejut kepada Perak FC minggu lalu dalam saingan Piala Malaysia, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini kembali ke landasan kemenangan apabila berjaya menundukkan Sri Pahang 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Kedah yang menurunkan kesebelasan terbaik mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan gol pendahuluan apabila seawal minit ke-4 Ifedayo Olusegun menyudahkan lontaran jauh dari Ariff Farhan melalui satu tandukan tipis.
Walaupun mendahului 1-0, Kedah meneruskan tekanan kepada pasukan Sri Pahang yang dilihat mati langkah dan terlalu mengharapkan serangan dari penyerang tunggal mereka, Kpah Sherman.
Selepas serangan demi serangan yang dilancarkan, Kedah akhirnya berjaya menambah gol melalui J. Partiban pada minit ke-42 perlawanan.
Gol tersebut terhasil daripada rembatan Manuel Ott yang tidak dapat diselamatkan dengan baik penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi. Partiban yang meluru ke arah bola, mudah menolak masuk untuk kedudukan menjadi 2-0 memihak Kedah.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sri Pahang melakukan dua pertukaran dengan membawa masuk Syazwan Andik dan David Rowley bagi memberi nafas baru dalam usaha mereka mencari gol.
Sri Pahang dilihat memulakan aksi kedua dengan agak baik apabila mempamerkan penguasaan bola yang meyakinkan.
Sri Pahang berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-51 selepas mendapat sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti. Namun sepakan yang diambil Kevin Ingreso berjaya ditepis dengan baik oleh penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz.
Perlawanan dilihat lebih seimbang selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Namun tiada tambahan jaringan dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.
Dengan kemenangan ini, Kedah mengekalkan kedudukan di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 37 mata daripada 19 perlawanan yang diharungi manakala Sri Pahang pula kekal di kedudukan keempat liga.