Advertising
Liga Super: Kelantan DN Kembali Ke SSMIV Dengan Kekalahan Kepada Penang
MakanBola
Penang FC

Penang akhirnya mengakhiri penantian kemenangan kelima dalam liga dengan membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 6-1 di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV)

Kelantan DN berharap dapat mengakhiri penantian kemenangan ketiga mereka sejak menewaskan Negeri Sembilan FC pada 27 September 2024. Ini juga kali pertama mereka beraksi di SSMIV selepas kerja-kerja penaiktarafan selesai dijalankan.

Penang pula mahu bangkit selepas gagal mara ke pentas final MFL Challenge Cup. Harimau Kumbang dikecewakan finalis kejohanan, Selangor FC di peringkat separuh akhir.

Ad

Penyerang Brazil, Rodrigo Dias terus menjadi pilihan jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail mengetuai jentera serangan. Penjaring terbanyak Piala MFL Sang Kijang Emas, Asraff Aliffuddin Yasin menjadi sandaran gol tuan rumah.

Separuh masa pertama menyaksikan Harimau Kumbang berusaha mencari kelebihan gol awal di SSMIV.

Ad
Ad

Situasi ini memaksa barisan pertahanan Sang Kijang Emas diketuai Aqif Asyraaf Izzuddin Plie bekerja keras mematahkan setiap serangan yang digerakkan pelawat.

Ad

Gol Penang akhirnya muncul pada minit ke-29 menerusi Dias. Bekas penyerang Khaitan SC itu melakukan sepakan akrobatik yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Fikri Che Soh.

Keceriaan kem Penang hanya bertahan selama lima minit. Syahir Abdul Rashid menceriakan kem Kelantan DN apabila menyumbat gol penyamaan melepasi penjaga gol Penang, Sikh Izhan Nazrel.

Penang kembali mendahului pada minit ke-43 menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat. Keadaan ini memastikan Penang mendahului 2-1 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Harimau Kumbang terus memberi tekanan kepada barisan pertahanan Kelantan DN.

Menyedari kelebihan dua gol yang dimiliki mereka masih belum selamat, Wan Rohaimi memasukkan Izzat Zikri Iziruddin untuk menambah kreativiti di bahagian tengah.

Kelantan DN pula memasukkan Nazmi Haikal Mohd Nadzir untuk memperkemaskan kembali barisan pasukan itu.

Malangnya, gawang tuan rumah dibolosi buat kali ketiga menerusi Dias pada minit ke-67. Penyerang berusia 31 tahun itu berjaya mengawal bola sebelum menewaskan Fikri.

Penang kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-80. Ini selepas pegawai VAR, Khairulsyahmi Ahmad Khalidi mengesan kekasaran ke atas Adib Ra’op dalam kotak penalti Kelantan DN.

Penalti tersebut mudah disempurnakan Dias menewaskan Fikri pada minit ke-84. Gol tersebut turut menjadikan penyerang Brazil itu terikat dengan Ronnie Fernandez dengan sembilan gol.

Dylan Wenzel-Halls dan Dias memastikan malam gemilang Harimau Kumbang dengan gol kelima pada minit akhir perlawanan. Keputusan 6-1 menyaksikan Penang melonjak ke tangga kesembilan dengan 19 mata.

Kelantan DN pula terus terperosok di kedudukan tercorot liga dengan tujuh mata. Selepas ini, Penang akan menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada 16 Februari.

Sang Kijang Emas pula akan berehat selama tiga minggu sebelum turun menentang Kuching City pada 26 Februari.