Liga Super: Kelantan Tewas Mengejut Kepada Perak Di Laman Sendiri
Liga Super
Perak FC
Advertisements

Kebangkitan yang diharap penyokong Kelantan dalam perlawanan Liga Super menentang Perak hari ini masih tak kunjung tiba. Ini selepas anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim menewaskan The Red Warriors (TRW) 3-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pembukaan. Bagaimanapun, tuan rumah yang lebih mengancam barisan pertahanan The Bos Gaurus diketuai kapten Hafizal Mohamad.

Dan apa yang dibimbangi pasukan pelawat menjadi kenyataan pada minit ke-16. Satu hantaran mengelirukan yang cuba dihantar kepada penyerang Kelantan, Nuha Marong terkena kaki pertahanan Seladang, Shivan Pillay sebelum melepasi garisan gol yang dikawal T. Shaheeswaran.

Advertisements

Gol tersebut memberi keyakinan kepada TRW memburu gol kedua. Pada minit ke-30, Shaheeswaran menafikan percubaan Marong dengan percubaan susulan Miguel Cifuentes pula ditolak keluar pertahanan Perak.

Kegagalan TRW memanfaatkan peluang yang terhidang dihukum Perak lima minit selepas itu. Satu hantaran yang dibuat penyerang pinjaman KL City, Arif Syaqirin mengakibatkan kapten Kelantan, Yusri Yuhasmadi tertampan bola ke gawang sendiri.

Kebangkitan Perak lengkap apabila pemain import Argentina, Luciano Guaycochea meledakkan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan, Nik Amin Ahmad pada minit ke-45.

Advertisements

Dengan keputusan 2-1 memihak kepada pelawat, TRW berusaha memburu gol penyamaan tetapi gagal. Sebaliknya, anak-anak buah Teong Kim pula menggandakan kelebihan mereka menerusi Che Suhairi Che Halim pada minit ke-69.

Bekas pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal bijak mencari ruang dalam pertahanan Kelantan sebelum melorongkan bola kepada Che Suhairi. Che Suhairi mudah menolak bola menewaskan Nik Amin bagi menambah kelebihan yang dimiliki Perak.

Menjelang akhir perlawanan, perlawanan sedikit tegang apabila berlaku pertengkaran antara Shaheeswaran dengan Marong selepas penjaga gol Perak itu tidak puas hati dengan sikap penyerang berkenaan. Bagaimanapun, pengadil bertindak pantas menenangkan keadaan sebelum situasi bertukar menjadi buruk.

Advertisements

Tuan rumah kemudiannya merapatkan kedudukan menerusi Nurshamil Ghani pada minit akhir perlawanan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Walaupun kekal di tangga ke-11, The Bos Gaurus kini mengutip sembilan mata dengan Kelantan pula kekal di tangga ke-13 dengan empat mata.

Dengan Liga Super berehat seketika bagi memberi ruang untuk Sukan SEA 2023 di Kemboja, saingan akan kembali bersambung pada 18 Mei ini. Perak bakal berdepan tugas sukar apabila menerima kunjungan Selangor di Stadium Perak pada 20 Mei ini.

Manakala Kelantan pula berdepan tugas serupa apabila berkunjung ke Stadium Darul Aman pada 19 Mei. Dengan Kedah segar dari kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan, anak-anak buah Nafuzi Zain pasti mahu meneruskan kecemerlangan mereka dengan membenam TRW.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram