Liga Super: KL City Kecewa Dikejutkan Negeri Sembilan
Liga Super
Negeri Sembilan FC
Advertisements

KL City gagal memanfaatkan sepenuhnya kekuatan kesebelasan utama mereka apabila tumbang kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hari ini. Perlawanan hari ini merupakan kesinambungan daripada perlawanan yang ditangguhkan pada 11 Mac lepas susulan hujan lebat dan keadaan padang stadium yang kurang memuaskan.

Dengan aksi disambung pada minit ke-28, kedua-dua pasukan tampil dengan kesebelasan utama yang berbeza susulan masalah kecederaan. KL City turun tanpa kelibat penjaga gol Filipina, Kevin Ray Mendoza dengan skuad Jang pula tempang tanpa kelibat Herold Goulon dan Casagrande.

Biarpun turun dengan ramai pemain utama, City Boys berdepan kesukaran memecah kekentalan pertahanan tuan rumah. Malah, sebaliknya, Hoben Jang Hoben hampir-hampir mendahului pada minit ke-39 menerusi Sean Selvaraj tetapi berjaya ditepis pengganti Mendoza, Azri Ghani.

Advertisements

Dengan keputusan 0-0 pada separuh masa pertama, Bojan Hodak dan K. Devan tahu anak-anak buah mereka perlu meningkatkan intensiti permainan mereka untuk meraih tiga mata.

Dan itu yang dilakukan skuad Rusa pada separuh masa kedua. Bagi menambah tekanan kepada pasukan pelawat, Devan memasukkan Tommy Mawat Bada dan Shahrel Fikry bagi menambah bisa di bahagian serangan.

Kemasukan duo berkenaan mendorong Negeri Sembilan mempercepat rentak permainan mereka. Dan hasilnya, tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan menerusi kapten Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-73.

Advertisements

Tersentak, Bojan memasukkan Zhafri Yahya dan Tchetche Kipre menggantikan Herlison Caion dan Sean Gianelli. Zhafri tidak menghampakan kepercayaan bekas jurulatih Kelantan itu apabila mudah menanduk masuk hantaran kapten Paulo Josue pada minit ke-84.

Tetapi keceriaan kem pelawat tidak bertahan lama. Kegagalan Giancarlo Gallifuoco mengawasi Safuwan Baharudin menyaksikan bek tengah Singapura itu melepasi kawalan bek tengah Australia itu sebelum menanduk masuk bola melepasi Azri pada minit ke-87.

Tuan rumah menyangka akan kecewa lagi apabila Romel Morales melepaskan rembatan padu menewaskan Sikh Izhan Nazrel untuk gol kedua pelawat seminit selepas itu. Bagaimanapun, Morales kecewa golnya tidak dikira kerana pembantu pengadil mengesan kesalahan ofsaid semasa gerakan menghasilkan gol tersebut.

Advertisements

Biarpun City Boys cuba bangkit mengejar, keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini membantu Negeri Sembilan memperkukuh kedudukan di tangga kesembilan dengan 13 mata dan hanya dipisahkan dua mata dengan KL City di tangga keenam liga.

Begitupun, ini bukan masa untuk berehat panjang buat anak-anak buah Devan. Ini kerana mereka perlu berdepan PDRM di Stadium MBPJ empat hari kemudian. Sementara Bojan pula mahukan anak-anak buahnya menjadikan Kelantan United sebagai mangsa lepas geram di Kota Bharu pada 20 Mei ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram