Pasukan KL City berjaya meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2023 selepas menewaskan Sabah hari ini.
Anak buah kendalian Bojan Hodak tampak selesa beraksi di laman sendiri apabila mencatatkan kemenangan bergaya 2-0 mengatasi Sabah.
Aksi separuh masa pertama bermula dengan kedua-dua pasukan mencari rentak permainan. Sabah yang banyak menggerakkan permainan daripada sebelah sayap kanan menerusi Saddil Ramdani bagaimanapun beberapa kali disekat pertahanan KL City.
Pada minit ke-16 permainan, hantaran cantik dari tengah menerusi Osbol Avanzini telah disempurnakan pemain muda KL, T Saravanan sekaligus menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim. Jaringan pembukaan itu menghangatkan aksi di Cheras.
Pada minit ke-23 permainan, giliran Tchetche Kipre mengegar jaring pasukan pelawat. Tandukan cantik Kipre bagaimanapun dibatalkan pengadil kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan offside.
Sabah terus menerus mengasak untuk mencari gol penyamaan namun ketangkasan penjaga gol KL City, Azri Ghani memastikan gawang KL City tidak dibolosi. Separuh masa pertama tamat, KL City 1-0 Sabah.
Babak separuh masa kedua bermula dengan serangan terus dilakukan skuad The Rhinos ke kubu KL City.
Beberapa peluang terhidang di depan gawang buat anak buah Ong Kim Swee meledak, namun Sabah tetap gagal memecah kebuntuan. Sebelum tamat perlawanan, Sabah memiliki peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Njoku Jacob. Namun rembatan Jacob jauh tersasar.
Empat minit masa tambahan memberi kelebihan buat KL City mencipta jaringan. Kemasukan Sean Gianneli memberi impak segera buat pasukan apabila beliau mencatat nama sebagai penjaring pada babak akhir permainan. Anak buah Bojan Hodak berjaya menewaskan Sabah, 2-0.
Aksi seterusnya menyaksikan The City Boys bakal berdepan cabaran pasukan Perak sementara Sabah akan menentang Negeri Sembilan pada Isnin, 10 April kelak.