Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan melihat proses memantapkan liga sebagai kunci untuk kembali melonjakkan Harimau Malaya.
Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya apa aspek yang perlu dimantapkan Harimau Malaya untuk memburu misi kelayakan ke Piala Asia 2031.
Zainal Abidin menyifatkan Liga Super dilihat semakin baik dari tahun ke tahun. Ia juga dilihat refleksi kepada kekuatan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.
“Bagi saya, macam saya cakap tadi, liga kita ini dah jauh meningkat. Liga itu sendiri adalah kekuatan pasukan kebangsaan.
“Jika liga awak (Liga Super) kuat, pasukan kebangsaan awak (Harimau Malaya) akan jadi kuat,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.
Zainal Abidin turut mencadangkan proses mengenal pasti pemain baharu dalam Liga Super digiatkan.
Ini bertujuan menambah lebih banyak pilihan pemain buat skuad kebangsaan terutama bila kelayakan Piala Asia 2031 bermula.
“Mulai daripada sekarang, kita kena perhatikan dan kita kena kenal pasti pemain-pemain yang akan sampai ke Kelayakan Piala Asia 2031.
“Sebab kita bukan lagi nak cari pemain yang di liga bawah. Kita nak carikan pemain di liga atas bermakna Liga Super. Jadi di Liga Super ini, kita ada kualiti.
“Macam apa yang Farizal (Marlias) cakap, memang kita ada kualiti. Tapi kita mesti kenal pasti daripada hari ini dan pendedahan, ini yang penting,” tambahnya.
Malaysia terlepas peluang mara ke Piala Asia 2027 selepas menamatkan kempen kelayakan di tempat kedua Kumpulan F.