Liga Super: Kuching City Lepasi Cabaran Skuad Tempang KL City
MakanBola
MFL

Kuching City berjaya kutip 3 mata pertama selepas membelasah KL City 6-0 dalam aksi kedua Liga Super 2026/2027 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu malam. Aksi ini turut menjadi perlawanan rasmi pertama KL City selepas aksi mereka sebelum ini diisytiharkan KL City hilang tiga mata.

Jerome Mpacko Etame menjadi bintang utama The Cats selepas meledak empat gol, manakala Ajdin Mujagic turut mencatat nama sebagai penjaring. Kuching City tampil dominan untuk memastikan kemenangan bergaya ke atas Skuad IbuKota.

Tumpuan utama malam ini bukan semata-mata aksi di atas padang, sebaliknya kesebelasan utama kedua-dua pasukan. KL City hadir dalam keadaan serba kekurangan apabila hanya mampu menurunkan 10 pemain di atas padang serta seorang pemain simpanan, susulan masalah kewangan dan wabak influenza yang melanda pasukan. Skuad IbuKota kini mengharapkan magis “Mister Kuala Lumpur”, Paulo Josue, untuk mencetuskan sesuatu yang istimewa.

Sementara itu, Kuching City tampil dengan kekuatan lebih lengkap dan mempertaruhkan Ajdin Mugajic sebagai penggempur utama. The Cats pastinya mahu memanfaatkan kelebihan tersebut untuk mengawal permainan dan membawa pulang keputusan positif dari Stadium Cheras.

Kuching City terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-3. Ajdin Mujagic, bekas pemain JDT yang kini mewakili Kuching City, mencetak gol menerusi tandukan untuk memberikan kelebihan awal kepada pasukannya.

Kuching City terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-25. Bermula daripada sepakan sudut yang gagal dipintas pemain lawan, James Okuwosa kemudian menghantar bola silang ke dalam kotak penalti sebelum Jerome Mpacko Etame menyambutnya dengan tandukan tenang untuk menghasilkan gol kedua The Cats.

Sebelum rehat, KL City menarik nafas lega selepas James Okuwosa dilayangkan kad merah susulan terjahan lewat terhadap penyerang mereka. Okuwosa merupakan pemain terakhir di benteng pertahanan ketika melakukan kesalahan tersebut, menyebabkan Kuching City terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain.

Kuching City memperoleh gol ketiga seawal minit ke-47 apabila Jerome Mpacko Etame menyudahkan hantaran silang Arif Farhan menerusi tandukan. Jaringan itu semakin menyukarkan tugas KL City, yang kelihatan masih gagal mencari jalan untuk mengubah keputusan meskipun kedua-dua pasukan kini beraksi dengan kekuatan 10 pemain.

Jerome Mpacko Etame melengkapkan hatrik pada minit ke-52 untuk terus menghukum KL City. Etame pantas menyambar bola muntah selepas rembatan Wenzell-Halls terkena tiang, sebelum melepaskan penyudah yang menerjah gawang Skuad IbuKota.

Kuching City terus menambah derita KL City apabila meledak gol kelima pada minit ke-55. Ajdin Mugajic mudah menolak masuk hantaran Wenzell Halls dari dalam kotak penalti untuk terus melebarkan kelebihan The Cats.

Kuching City melakukan beberapa pertukaran pemain dengan memasukkan Ramadan Saifullah bagi mengekalkan momentum pasukan. Berbeza dengan The Cats, KL City tidak mempunyai pilihan untuk melakukan sebarang pertukaran susulan keterbatasan pemain di bangku simpanan.

Kuching City terus menambah derita KL City apabila meledak gol keenam untuk melengkapkan kemenangan bergaya. Jerome Mpacko Etame sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring untuk menghasilkan gol keempat peribadinya dalam perlawanan ini.

Tamat aksi di Cheras dengan keputusan 6-0 berpihak kepada Kuching City FC. Aksi seterusnya menyaksikan KL City bakal berdepan Brunei DPMM pada 29 Ogos, manakala Kuching City turut turun beraksi pada tarikh yang sama menentang Kelantan Red Warriors.