Advertisements
Liga Super: Lee Tuck Muncul Hero, Bantu Kedah Atasi Sabah
Liga Super
MakanBola
KDA FC

Kedah Darul Aman melayan kunjungan Sabah di Stadium Darul Aman dalam aksi Liga Super 2023 hari ini. Aksi LS13 itu menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya mengutip tiga mata berharga menewaskan Sabah 2-1.

Babak separuh masa pertama bermula dengan jaringan awal berjaya dihasilkan pasukan pelawat. Sabah hadir pada minit kelapan menerusi ledakan Gabriel Peres setelah beliau menanduk masuk bola ke gawang Kedah menewaskan penjaga gol Sang Kenari, Ifwat Che Akmal.

Setelah jaringan Sabah terhasil, pasukan Kedah terus menerus melancarkan serangan bagi mencari gol penyamaan. Pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck hadir menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan hantaran cantik daripada Manuel Hidalgo.

Jaringan Lee Tuck memastikan Kedah mengikat Sabah di separuh masa pertama dengan keputusan 1-1.

Aksi separuh masa kedua diteruskan dengan corak permainan yang semakin rancak. Anak buah kendalian Nafuzi Zain dilihat lebih ghairah menyerang mencari gol tambahan.

Pada minit ke-71 permainan, Lee Tuck sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring. Pemain berusia 34 tahun itu memanfaatkan tandukan kurang kemas pertahanan Sabah yang cuba mengeluarkan bola. Bagaimanapun bola tersebut terus ke kaki Lee Tuck dan disudahkan dengan satu rembatan menggegar jaring.

Anak buah kendalian Ong Kim Swee cuba mencari gol penyamaan, namun gagal tembusi pertahanan pasukan tuan rumah.

Lima minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, Kedah berjaya atasi Sabah, 2-1.