Kempen Liga Super 2024/2025 hari ini melibatkan pertemuan antara jaguh dari Pantai Timur, Terengganu menentang pasukan Perak. Perlawanan pertama untuk kedua-dua pasukan bagi saingan musim ini telah dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner memberi kepercayaan kepada Syed Nasrulhaq untuk turun sebagai penjaga gol Skuad Peteh sementara Perak mempertaruhkan Haziq Nadzli di posisi terakhir pasukan.
Aksi di separuh masa pertama berakhir dengan satu jaringan berjaya dicipta pasukan tuan rumah menerusi Nurillo Tukhtasinov. Pemain tengah Uzbekistan ini memanfaatkan ruang yang diberikan pasukan lawan dengan satu percubaan dari luar kotak penalti.
Sepakan Nurillo cantik mengegar jaring dan menewaskan penjaga gol Perak, Haziq Nadzli sekaligus memberi kelebihan satu jaringan buat Skuad Peteh di babak pertama perlawanan.
Bersambung aksi di babak kedua permainan, Terengganu dikejutkan dengan jaringan pasukan lawan. Pada minit ke-58 permainan, pengadil perlawanan telah memberi sepakan penalti buat pasukan Perak selepas mengesan pemain tengah Terengganu, Manuel Ott mengkasari import Perak, Lee Tae-min dari belakang.
Kapten Perak, Luciano Guaycochea mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk menyamakan kedudukan.
Lima minit selepas jaringan pertama Perak terhasil, Terengganu kembali mendahului dihadapan selepas kemasukan pemain gantian Nik Sharif, Engku Shakir dan Syahmi Zamri membuahkan hasil.
Hantaran lintang Nik Sharif telah memerangkap pertahanan The Bos Gaurus untuk gol kedua Terengganu apabila pertahanan Perak, Shivan Pillay tertampan masuk bola ke gawang.
Sebelum aksi tamat, Terengganu menambah duka pasukan pelawat menerusi Chijioke untuk gol kemenangan Skuad Peteh. Terengganu mula langkah kanan bagi saingan musim ini selepas menewaskan Perak dengan keputusan 3-1.