Negeri Sembilan memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri apabila berjaya menundukkan Kelantan 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mendapatkan gol pendahuluan. The Red Warriors menguji kecekapan penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan Nazrel menerusi percubaan Ismaheel Akinade seawal minit pertama tetapi ia berjaya ditangkap kemas penjaga gol pinjaman Selangor itu.
Tetapi tuan rumah terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-16 menerusi Mahalli Jasuli. Sepakan Mahalli dari luar kotak penalti terkena tangan pemain Kelantan sebelum ia menembusi gawang pelawat yang dikawal Nik Mohd Amin Ahmad.
Tersentak, anak-anak buah Choi Moon-sik bangkit mengejar gol penyamaan. Dan hasilnya, The Red Warriors dianugerahkan sepakan penalti selepas Sikh Izhan didapati mengasari pemain Kelantan dalam kotak penalti.
Ismaheel yang diberi amanah menyempurnakan sepakan penalti mudah menewaskan pengganti Sikh Izhan, Muhaimin Mohamad pada minit ke-36. Bagaimanapun, kegembiraan Kelantan tidak bertahan lama apabila Herold Goulon kembali meletakkan tuan rumah di hadapan dua minit selepas itu.
Dengan keputusan 2-1 semasa rehat, The Red Warriors berusaha untuk bangkit pada separuh masa kedua. Kesungguhan mereka berhasil apabila Ismaheel meledakkan gol kedua pada minit ke-54.
Gol tersebut memberi keyakinan kepada anak-anak buah Moon-sik untuk memburu gol kemenangan. Dan mereka hampir mendapatnya pada minit ke-67 menerusi percubaan jarak jauh Carli de Murga tetapi ia berjaya diselamatkan Muhaimin.
Di sebalik serangan bertubi-tubi Kelantan, skuad Rusa hampir menambah gol ketiga menerusi percubaan Levy Madinda pada minit ke-73. Tetapi percubaannya berjaya ditangkap kemas Nik Mohd Amin.
Kesungguhan Negeri Sembilan akhirnya membuahkan hasil apabila Shahrel Fikry Fauzi menyumbat gol ketiga pada minit ke-76. Hantaran lambung Mahalli ditanduk Casagrande sebelum mudah ditolak Shahrel melepasi Nik Mohd Amin.
Casagrande kemudiannya mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-88. Penyerang Brazil itu mudah menolak hantaran Shahrel bagi memastikan Negeri Sembilan meraih tiga mata penuh.
Kemenangan ini melonjakkan anak-anak buah K. Devan ke tangga ketujuh dengan lapan mata. Sementara anak-anak buah Moon-sik pula jatuh ke tangga ke-11 dengan empat mata.
Selepas ini, Negeri Sembilan bakal berdepan Selangor di Stadium MBPJ pada 4 April ini. Sementara Kelantan pula bersedia untuk perlawanan ‘derby’ Pantai Timur dengan Terengganu pada hari yang sama.