Advertisement
Liga Super: PDRM Cemerlang Kejutkan Sri Pahang
Liga Super
MakanBola
PDRM FC

PDRM FC bangkit daripada ketinggalan sebelum merekodkan kemenangan mengejut ke atas Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur hari ini.

Skuad Tok Gajah memerlukan kemenangan hari ini untuk merapatkan jurang dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di kedudukan ketiga liga.

Sementara The Cops pula melihat kemenangan hari ini mampu melonjakkan mereka ke tangga ketujuh liga sekaligus memintas KL City FC.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mencari gol pendahuluan.

Bagaimanapun, Sri Pahang terlebih dahulu di hadapan menerusi Kpah Sherman pada minit keenam. Itu merupakan gol ke-14 beliau dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M).

Tersentak, PDRM kembali mengatur rentak. Sang Saka Biru kemudiannya mendapat peluang meraih gol penyamaan apabila dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil Fitri Maskon.

Bruno Suzuki tenang menyempurnakan penalti menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-35.

Tujuh minit kemudian, Dzulfahmi Abdul Hadi menggandakan kelebihan The Cops pada minit ke-42. Bermula dari hantaran Hadi Fayyadh Abdul Razak, Suzuki kembali melorongkan bola kepada Dzulfahmi sebelum menewaskan Zarif Irfan.

Tuan rumah semakin tertekan apabila penyerang Jepun-Brazil itu meledakkan gol ketujuhnya dalam Liga Super musim ini pada minit ke-46. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Sri Pahang memperkemaskan permainan bagi merapatkan jurang gol.

Skuad Tok Gajah hampir merapatkan jurang menerusi Rafael Silva pada minit ke-57 tetapi rembatannya dari jarak dekat berjaya ditepis Ramdhan Hamid.

Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad membuat beberapa pertukaran bagi memperkemas corak permainan tuan rumah.

Tuan rumah kemudiannya mendapat sepakan penalti apabila Ramdhan didapati menerjah keras Zuhair Aizat Mohd Nazri. Penalti itu mudah disempurnakan Stefano Brundo bagi meletakkan keputusan 3-2.

Ini mendorong jurulatih PDRM, Dato’ Yunus Alif memasukkan Uche Agba dan Nabil Ahmad Latpi bagi mengembalikan momentum di bahagian serangan.

Kedua-dua pasukan berusaha menambah gol tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan hari ini melonjakkan PDRM ke tangga ketujuh dengan 34 mata. Manakala Sri Pahang pula di tangga keempat dengan 44 mata, enam mata di belakang Kedah.