Liga Super: Penang Bergelut Diikat Negeri Sembilan

Penang FC 4 Liga Super: Penang Bergelut Diikat Negeri Sembilan
Penang FC
Azim Noor @mohdazim45
11:04pm 01/03/2023

Hasrat pasukan utara tanah air, Penang melakar kemenangan pertama di gelanggang sendiri tak kesampaian hari ini. Ini selepas Harimau Kumbang diikat Negeri Sembilan tanpa jaringan di Stadium Bandaraya.

Babak pertama menyaksikan insiden kecederaan yang dialami penjaga gol pelawat, Sikh Izhan Nazrel. Penjaga gol pinjaman Selangor itu mengalami kecederaan di kepala selepas kaki Rahmat Makasuf terkena kepalanya semasa cuba mengelak daripada berlanggar.

Susulan itu, Sikh Izhan menerima rawatan perubatan sebelum kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Akibat insiden itu juga, masa tambahan ditambah selama 12 minit dengan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan mula memperkemas rentak bagi memburu gol pembukaan. Negeri Sembilan hampir mendapat gol pertama menerusi kesilapan tendangan Rafael Vitor tetapi sepakannya berjaya mengeluarkan bola daripada padang.

Penang pula hampir meraih gol pendahuluan menerusi hantaran Nik Akif Syafiq. Hantaran mengelirukan pemain tengah Harimau Kumbang itu berjaya ditepis penjaga gol gantian, Muhaimin Mohamad.

Di sebalik usaha memburu gol oleh kedua-dua pasukan, keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini juga menyaksikan Penang dan Negeri Sembilan masing-masing menduduki kedudukan keenam dan ketujuh Liga Super selepas dua perlawanan.