Pertemuan antara Sabah FC menentang Penang FC berakhir dengan kemenangan 3-0 berpihak kepada Penang FC. Aksi bertenaga Sabah pada awal separuh masa pertama nyata tidak mampu menidakkan kemenangan Penang malam ini.
Dua kali percubaan Sabah terkena palang menerusi tandukan Amri Yahya dan percubaan jarak jauh Saddil Ramdani.
Serangan Penang pada minit ke 38 membuahkan hasil apabila tandukan Casagrande berjaya membolosi gawang gol Sabah.
Pada aksi separuh masa kedua, Casagrande sekali lagi menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke 58. Jaringan ketiga Penang pula berpunca daripada kelalaian pemain pertahanan Sabah apabila gagal menyekat larian Sheriddin Boboev yang kemudiannya mudah mengatasi penjaga gol Sabah, Rozaimie.
Percubaan Saddil Ramdani yang terkena tiang gol sekali lagi menyekat hasrat Sabah untuk mendapatkan gol sekali gus mengakhiri perlawanan dengan kemenangan selesa Penang 3-0.
Sabah banyak melakukan serangan dalam perlawanan ini namun percubaan mereka gagal menerjah gawang. Kemenangan Penang menyaksikan pasukan ini berjaya memintas Kedah dan Selangor untuk menduduki tangga ketiga Liga Super buat ketika ini.