Kelebihan gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan Negeri Sembilan FC apabila tewas tipis 1-0 kepada Perak FC dalam aksi terbaru Liga Super hari ini.
Dengan Perak masih segar daripada kejayaan mara ke separuh akhir Piala Malaysia, tuan rumah yang dibimbing K. Devan sedar mereka bakal berdepan kesukaran hari ini.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mengambil pendekatan berhati-hati sambil mencari ruang untuk menjaringkan gol awal.
Ini mengakibatkan kedua-dua pasukan buntu mencipta peluang jaringan dengan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, The Bos Gaurus mula memperkemaskan rentak mereka. Hasilnya, skuad Seladang mendahului menerusi Luka Milunovic pada minit ke-52.
Kegagalan pertahanan Negeri Sembilan mengeluarkan bola hantaran kapten pelawat, Luciano Guaycochea memakan diri apabila mudah ditolak Milunovic melepasi Sikh Izhan Nazrel.
Tersentak, skuad Hoben Jang Hoben cuba mengasak kubu pertahanan lawan. Bagaimanapun, benteng pertahanan Perak diketuai Jesper Nyholm kental menyerap asakan lawan.
Negeri Sembilan terus ditimpa malang apabila tonggak pertahanan, Herold Goulon tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan. Ini mendorong Devan memasukkan Youssef Ezzejiari bagi membantu Casagrande di bahagian serangan.
Gol penyamaan yang dicari langsung tidak ditemui dengan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini membolehkan Perak memiliki mata sama dengan Penang FC iaitu 19 mata.
Begitupun, Penang kekal di tangga ke-10 kerana memiliki kelebihan jaringan. Sementara Negeri Sembilan pula kekal di tangga kesembilan dengan 21 mata.
Skuad Rusa perlu meraih kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 28 Oktober ini jika tidak mahu dipintas Penang dan Perak. Sementara The Bos Gaurus pula melayan kunjungan Kelantan FC pada malam hari yang sama.