Kedah berjaya pulang dengan tiga mata selepas berjaya menewaskan tuan rumah Perak 4-1 dalam perlawanan sulung Liga Super di Stadium Perak hari ini.
Sebaik sepak mula, The Bos Gaurus mendahului seawal minit ketiga menerusi Ikhwan Hafizo. Cubaan pemain tengah Kedah mengeluarkan bola segera dipintas pemain import Korea Selatan, Seo Sun-ung sebelum menghantar bola kepada Ikhwan.
Pemain tengah muda itu melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Kenari, Kalamullah Al-Hafiz.
Bagaimanapun, pendahuluan mereka tidak bertahan lama apabila Lee Tuck melepaskan rembatan jarak jauh menewaskan penjaga gol Perak, Bryan See pada minit ke-17.
Hasrat Perak untuk bangkit terencat sedikit apabila bek tengah berpengalaman Haziq Puad dibuang padang oleh pengadil pada minit ke-34. Itu juga merupakan kad merah pertama dalam liga musim ini. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, Kedah menggandakan asakan bagi memburu gol kedua. Tetapi anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim berupaya menyerap tekanan dan kadang-kadang mengatur serangan balas terhadap kotak penalti skuad Kenari.
Dan mereka hampir di hadapan pada minit ke-61 apabila percubaan Hadi Fayyadh dinafikan Kalamullah. Percubaan susulan oleh Fahmi Daniel pula disekat oleh bek tengah Akmal Zahir sebelum berjaya dikeluarkan pertahanan Kedah.
Beberapa minit selepas itu, skuad Kenari mendapat sepakan penalti selepas kapten Manuel Ott dijatuhkan dalam kotak penalti. Willian Lira tenang menyempurnakan penalti menewaskan Bryan bagi meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
The Bos Gaurus terus dirundung malang apabila Sunday Afolabi dibuang padang oleh pengadil selepas mengutip kad kuning kedua. Kelebihan ini dimanfaatkan anak-anak buah Nafuzi Zain menerusi gol ketiga yang dijaringkan Ariff Farhan pada minit ke-84.
Pemain gantian Jonathan Balotelli menambah gol keempat dengan mengangkat bola mengatasi Bryan untuk kemenangan selesa pelawat. Keputusan 4-1 ini meletakkan skuad Kenari di tempat kedua Liga Super di belakang pendahulu liga Sabah.