Advertisement
Liga Super: Sabah Berpesta Gol Tewaskan PDRM
Liga Super
MakanBola
Malaysian Football League (MFL)

Sabah membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan Liga Super musim ini apabila membelasah PDRM 4-0 di Stadium Likas hari ini.

Sebaik sepak mula, Sabah mula mengintai peluang menjaringkan gol. Dan mereka hampir membuka jaringan pada minit keenam apabila bola percubaan Saddil Ramdani terlepas daripada tangan penjaga gol Ramadhan Hamid.

Bagaimanapun, penyokong Sabah hampa apabila kapten Park Tae-soo gagal menanduk kemas bola muntah Saddil sebelum berjaya didapatkan semula oleh Ramadhan.

PDRM kemudiannya cuba mengatur gerakan serangan menerusi bekas penyerang Sarawak United, Uche Agba. Tetapi skuad Badak akhirnya membuka jaringan menerusi Saddil Ramdani pada minit ke-13.

Tersentak, Sang Saka Biru cuba bangkit mengatur kebangkitan. Tetapi Sabah hampir menambah gol kedua pada minit ke-26 menerusi Gabriel Peres tetapi tandukannya berjaya ditepis Ramadhan.

Tae-soo menebus kegagalannya sebelum ini apabila mudah menanduk hantaran bola Saddil melepasi jangkauan Ramdhan pada minit ke-37. Kedudukan 2-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Sabah menambah gol ketiga menerusi Saddil pada minit ke-71. Bermula dari pemain sayap Indonesia itu, bola dilorongkan kepada Darren Lok sebelum menghantar semula kepada S. Kumaahran.

Kumaahran kemudiannya melarikan bola ke arah kotak penalti PDRM. Walaupun berjaya disekat oleh pertahanan Sang Saka Biru, bola tersebut mudah ditolak Saddil ke dalam gawang lawan yang kosong.

Sebelum perlawanan berakhir, Sabah meledakkan gol keempat menerusi Stuart Wilkin selepas menerima hantaran pemain pertahanan Rizal Ghazali.

Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan keputusan ini, Sabah muncul pendahulu Liga Super dengan kelebihan jaringan memisahkan mereka dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).