Sabah FC memastikan Negeri Sembilan terus kempunan meraih kemenangan pertama dalam liga untuk tahun 2026 apabila mengikat pelawat 1-1 di Stadium Likas.
Aksi ini dilihat peluang buat kedua-dua pasukan meraih kemenangan pertama selepas membuat perubahan pada barisan kejurulatihan masing-masing.
Garrido menjadi pengganti tetap jurulatih Sabah sebelumnya, Jean-Paul de Marigny. K. Rajan memikul tugas sebagai jurulatih interim Sang Rusa selepas Nidzam Jamil mengundur diri.
Separuh masa pertama menyaksikan Sabah berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Darren Lok, Chris Marlon Ondong-Mba, Fergus Tierney dan Farhan Roslan.
Malangnya, usaha mereka kerap dihampakan barisan pertahanan Negeri Sembilan diketuai bek tengah Jepun, Kei Oshiro.
Penyokong di Stadium Likas sedikit cemas apabila penyerang kebangsaan, Darren Lok terlanggar tembok di tepi padang. Ini selepas beliau terjatuh akibat ditolak pemain Sang Rusa, Amriul Adli Azmi.
Selepas menerima rawatan pasukan perubatan, Darren kembali meneruskan permainan tanpa sebarang isu.
Pelawat akhirnya mendahului pada minit ke-33 menerusi Jovan Motika. Motika melepaskan rembatan deras yang menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Sabah berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, anak buah Garrido terus memberi tekanan ke atas gawang Negeri Sembilan yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani.
Garrido kemudiannya memasukkan S. Kumaahran sebagai pengganti Farhan untuk menambah taji serangan Sang Badak.
Kemasukan Kumaahran membuahkan hasil apabila menyumbat gol penyamaan pada minit ke-69.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing menduduki tangga ketujuh dan ke-10 dengan 18 dan 15 mata.
Selepas ini, Sabah mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir MFL Challenge Cup menentang Perak FA pada 4 Mac. Negeri Sembilan pula akan menentang Penang pada 7 Mac ini.