Liga Super: Sabah Mudah Atasi Cabaran Perak
Liga Super
Sabah FC
Advertisements

Sabah kembali mencatat kemenangan dalam Liga Super di hadapan para penyokong mereka di Stadium Likas hari ini. Ini selepas anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee membenam Perak 3-1.

Dengan The Bos Gaurus masih dihantui kekalahan besar 4-0 di tangan Selangor beberapa hari lepas, Sabah tahu anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim boleh menjadi mangsa belasahan mereka. Ini ditambah dengan mereka masih lagi berang diikat 2-2 dengan Terengganu di Stadium Likas pada 19 Mei lepas.

Justeru, sebaik sepak mula, barisan serangan Badak melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah gawang Seladang. Dan mereka tidak menunggu lama membuka tirai jaringan menerusi tandukan Darren Lok pada minit keempat.

Advertisements

Entah di mana silapnya, barisan pertahanan The Bos Gaurus lebih banyak memerhatikan bola daripada mengawal jentera serangan Sabah diketuai Lok. Dan itu mengakibatkan mereka dihukum lagi menerusi rembatan lencong Park Tae-su pada minit ke-31.

Sembilan minit kemudian, kapten skuad Badak, Baddrol Bakhtiar menambah derita pelawat dengan gol ketiga perlawanan. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan The Bos Gaurus mempamerkan aksi lebih kemas sekaligus menyukarkan Sabah menambah koleksi jaringan mereka. Malah, mereka hampir-hampir membolosi gawang Sabah pada minit ke-63 tetapi berjaya ditumbuk keluar penjaga gol Damien Lim.

Advertisements

Enam minit selepas itu, Luciano Guaycochea sekali lagi menguji gawang Damien menerusi satu sepakan percuma yang mengelirukan. Tetapi pemain tengah Argentina itu hampa apabila percubaannya terkena palang sebelum dikeluarkan pertahanan Sabah.

Sabah tersentak apabila Seladang merapatkan jurang menerusi pemain gantian, Harith Naem Jaineh pada minit ke-82. Harith yang menerima hantaran Guaycochea berjaya mengatasi cabaran Gabriel Peres sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Damien.

Di sebalik usaha The Bos Gaurus menambah jaringan, keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Sabah menduduki tempat keempat dengan 24 mata sekaligus memintas Kedah. Manakala Perak pula kekal di tangga ke-11 dengan sembilan mata.

Advertisements

Selepas ini, Sabah bertandang ke Stadium Darul Aman untuk menentang Kedah pada 2 Jun. Manakala Perak pula berdepan naib juara Liga Super musim lepas, Terengganu pada 3 Jun.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram