Advertising
Liga Super: Sabah Pamer Kebangkitan Luar Biasa Sebelum Tewaskan Kuching City
Liga Super
MakanBola
Sabah FC

Hasrat Kuching City FC untuk meraih kemenangan pertama Liga Super musim ini tidak menjadi kenyataan selepas tewas kepada pasukan tuan rumah, Sabah FC di Stadium Likas sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat dalam misi mencapai kemenangan dengan Sabah menurunkan dua penyerang berbisa iaitu Darren Lok dan Ramon Machado. Manakala Kuching City juga turut menggunakan khidmat dua penyerang iaitu Jordan Mintah dan Tchetche Kipre.

Ad

Perlawanan dimulakan dengan pasukan tuan rumah, Sabah beraksi dengan garang melalui beberapa serangan di awal permainan.

Ad

Sabah seharusnya di hadapan pada minit ke-6 melalui penyudah mudah Darren Lok selepas menyambar hantaran Saddil Ramdani, namun jaringan tersebut tidak dikira selepas pengadil meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR) dan terdapat kekasaran yang berlaku sebelum jaringan dihasilkan.

Momentum serangan terus dipamerkan anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk mencari jaringan melalui gerak merbahaya terutamanya daripada Saddil Ramdani dan Darren Lok.

Ad

Tidak banyak yang mampu dilakukan kedua-dua pasukan sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan seri tanpa jaringan.

Ad

Bersambung babak kedua, Sabah meneruskan rentak serangan yang memaksa Kuching City lebih bertahan.

Ad

Ketika Sabah asyik menyerang, Kuching City mengejutakan penyokong tuan rumah apabila berjaya di hadapan terlebih dahulu pada minit ke-64 melalui penyudah Pedro Henrique yang meyambut hantaran Shamie Iszuan. Kuching City di hadapan 1-0.

Kedudukan 1-0 itu tidak kekal lama apabila Sabah berjaya mendapat sepakan penalti selepas Ko Kwang-min dijatuhkan Jordan Mintah di kotak penalti. Darren Lok yang mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Wan Azraie di gawang Kuching City.

Terikat 1-1, Kim Swee memasukkan Jafri Firdaus Chew untuk menambah bisa di bahagian hadapan.

Strategi itu nyata membuahkan hasil buat Sabah apabila Jafri menjaringkan gol kedua pada minit ke-85 melalui satu rembatan deras dari dalam kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, Kuching City menambah kelajuan dalam permainan mereka dengan beberapa gerak serangan mereka agak merbahaya.

Tiada jaringan tambahan dapat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan walaupun 9 minit masa tambahan diberikan pengadil sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-1 memihak Sabah.

Untuk perlawanan seterusnya, Sabah bakal bertemu Kuala Lumpur Rovers FC dalam pusingan 16 terakhir Piala FA pada 15 Jun manakala Kuching City pula berdepan Kuala Lumpur City FC dalam Piala FA pada 13 Jun.