Advertisement
Liga Super: Sabah Terus Kemarau Kemenangan, Diikat Negeri Sembilan
Liga Super
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Hasrat Sabah untuk bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut tidak kesampaian hari ini. Ini selepas anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee sekadar seri 1-1 dengan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad Badak mendapat beberapa peluang keemasan mendahului tuan rumah. Badrol Bakhtiar melakukan sepakan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-15 selepas berjaya merampas bola dari kaki kapten Nasrullah Haniff.

Bagaimanapun, sepakannya itu melantun terkena palang sebelum cubaannya buat kali kedua pula tersasar. Dua minit selepas itu, Park Tae-soo pula kecewa apabila sepakannya hanya mengenai bahagian tepi jaring Negeri Sembilan.

Tatkala Sabah sibuk mengasak, tuan rumah mendahului pada minit ke-21 menerusi Tommy Mawat Bada. Sepakan percuma lencong yang diambil bekas pemain Badak itu menerjah jaring gawang yang dikawal penjaga gol pelawat, Damien Lim.

Tersentak, anak-anak buah Kim Swee cuba bangkit. Dan Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada penjaga gol Sikh Izhan Nazrel kerana berjaya menghalang percubaan Darren Lok pada minit ke-28 daripada menerjah jaring mereka.

Dengan kedudukan 1-0 sehingga rehat, Sabah berusaha memburu gol penyamaan. Tetapi mereka bernasib baik tidak dibolosi buat kali kedua apabila tandukan Casagrande menerusi sepakan percuma Tommy pada minit ke-71 tidak mengenai sasaran.

Sabah seakan buntu memecah kekebalan Sikh Izhan dengan sepakan percuma Saddil Ramdani pada minit ke-74 berjaya dinafikan penjaga gol pinjaman Selangor itu. Tetapi akhirnya, Tae-soo membantu Sabah mengikat kedudukan 1-1 dengan menanduk hantaran Jailton Paraiba menewaskan Sikh Izhan pada minit ke-76.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada anak-anak buah Kim Swee memburu gol kemenangan. Di sebalik usaha memburu gol berkenaan, anak-anak buah K. Devan memastikan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan seri 1-1 ini meletakkan Sabah di tangga kelima liga dengan Negeri Sembilan di tangga kesembilan. Yang pasti, ia sama sekali meresahkan Kim Swee kerana Sabah kini berdepan kemarau tanpa kemenangan untuk tiga perlawanan berturut-turut.

Justeru, skuad Badak pasti berharap dapat meraih kemenangan ke atas Kelantan United dalam pusingan kedua Piala FA pada 15 April ini. Sementara Negeri Sembilan pula turun menentang PIB Shah Alam dalam satu lagi aksi pusingan kedua Piala FA pada hari yang sama.