Selangor FC kembali pamer prestasi mantap dalam Liga Super apabila membenam cabaran Terengganu FC 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak hari ini.
Selepas disingkirkan dari Piala Malaysia oleh skuad Peteh awal minggu ini, The Red Giants melihat perlawanan hari ini sebagai medan balas dendam ke atas tuan rumah.
Babak pertama menyaksikan pasukan pelawat garang mengasak kubu tuan rumah. Kesungguhan Selangor berhasil apabila rembatan jarak jauh Yohandry Orozco menewaskan Rahadiazli Rahalim pada minit ke-26.
Tuan rumah terus ketinggalan apabila Orozco menambah gol kedua pada minit ke-41. Rahadiazli gagal menampan rembatan kuat pemain tengah skuad B-23 kebangsaan, Mukhairi Ajmal.
Akibatnya, bola muntah terlepas daripada pegangan beliau sebelum mudah dicuri Orozco untuk gol kedua Merah Kuning. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner memasukkan Ivan Mamut dan Alif Zakaria dengan harapan kedua-duanya kembali memantapkan barisan Penyu malam ini.
Malangnya, apa yang diharap jurulatih Croatia itu tidak berlaku. Sebaliknya, pemain sayap kebangsaan Faisal Halim membuat satu rembatan leret ke arah gol untuk gol ketiga pada minit ke-52.
Tuan rumah terus menderita apabila pemain gantian Aliff Izwan Yuslan menyumbat gol keempat pada minit ke-82. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan anak-anak buah Tan Cheng Hoe ini menamatkan rekod 12 perlawanan tanpa kalah Terengganu sejak Jun lepas. Selangor terus memperkukuh kedudukan di tempat kedua dengan 52 mata.
Manakala skuad Penyu pula kekal di tangga keenam dengan 35 mata. Dengan beberapa pemain mengalami kecederaan dalam perlawanan hari ini, Steinbruckner berharap kecederaan yang dialami mereka tidak serius.
Ini kerana mereka bakal berdepan kelab Liga 1 Indonesia, Bali United untuk aksi kedua Piala AFC pada 4 Oktober ini.