Liga Super: Selangor Menang Selesa Ke Atas Kelantan
Liga Super
MakanBola
Selangor FC
Advertisements

Selangor terpaksa bekerja keras sebelum mencipta kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Super ke atas Kelantan hari ini 3-0 di Stadium MBPJ.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mendapat peluang membuka gol pembukaan. Selangor menguji gawang yang dikawal Rozaimi Rahamat menerusi sepakan percuma Yohandry Orozco pada minit ke-10 tetapi percubaannya tersasar.

Advertisements

Seminit selepas itu, Afzal Akbar hampir-hampir menembusi gawang Merah Kuning yang dikawal Khairul Azhan Khalid menerusi satu sepakan lencong. Bagaimanapun, Afzal hampa apabila sepakannya itu melantun terkena tiang sebelum dikeluarkan pertahanan Selangor.

Kelantan banyak bergantung kepada gerakan serangan yang diketuai Ismaheel Akinade. Ini memaksa barisan pertahanan Selangor diketuai Yazan Al-Arab bekerja keras menghalangnya daripada mara ke pintu gol tuan rumah.

Advertisements

Tuan rumah kemudiannya ceria apabila Ayron Del Valle membuka jaringan pada minit ke-28. Gol tersebut terhasil menerusi hantaran kapten Brendan Gan yang disudahkan Del Valle menewaskan Rozaimi.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada tuan rumah untuk menggandakan jaringan. Pemain sayap kebangsaan Faisal Halim kecewa apabila cubaan lambungan bolanya pada minit ke-35 berjaya dinafikan Rozaimi.

Advertisements

Sembilan minit selepas itu, rembatan kencang Mukhairi Ajmal dinafikan penjaga gol The Red Warriors itu. Beberapa minit selepas itu, Orozco pula kecewa apabila percubaannya disekat Rozaimi selepas menerima hantaran Faisal.

Dengan keputusan 1-0 semasa rehat, Gergasi Merah berusaha menambah jaringan di separuh masa kedua. Dan Selangor mendakwa mereka patut dianugerahkan sepakan penalti seawal minit ke-45 selepas Del Valle dijatuhkan dalam kotak penalti tetapi tidak dilayan oleh pengadil.

Advertisements

Dominasi Merah Kuning akhirnya berjaya menghasilkan gol kedua menerusi pemain gantian, Rauf Salifu. Salifu yang menggantikan Ayron tenang menewaskan Rozaimi menerusi satu sepakan leret pada minit ke-80.

Salifu menambah derita tuan rumah menerusi gol ketiga perlawanan pada minit ke-90. Kegagalan Rozaimi menangkap kemas hantaran Nor Hakim Hassan menyenangkan penyerang Ghana itu menolak bola ke dalam gawang.

Advertisements

Tiga gol tersebut sudah cukup memastikan Selangor memintas Kedah di tangga kedua dengan 19 mata. Sementara Kelantan pula terus berada di tangga ke-13 dengan empat mata.

Selepas ini, Selangor bakal berdepan Sri Pahang untuk pusingan kedua Piala FA pada 15 April sebelum disusuli perlawanan liga menentang Terengganu tiga hari kemudian. Sementara Kelantan menentang Puchong Fuerza pada 14 April sebelum menentang Sabah pada 19 April.

Advertisements

News Comments Account