Hasrat Selangor merekodkan kemenangan ketiga dalam Liga Super menjadi kenyataan hari ini. Ini selepas Selangor merekodkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Penang di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
Sebaik sepak mula, saingan seimbang direkodkan membabitkan kedua-dua pasukan. Bagaimanapun, anak-anak buah Tan Cheng Hoe dilihat lebih banyak mengancam gawang Penang yang dikawal Shafiq Afifi.
Peluang terbaik Penang hadir menerusi tandukan bek tengah Myanmar, Zaw Min Tun pada minit ke-23. Tandukan yang terhasil menerusi sepakan sudut itu bagaimanapun mengenai palang sebelum berjaya dikeluarkan pertahanan Selangor.
Bagaimanapun, Selangor yang membuka tirai jaringan menerusi Ayron Del Valle pada minit ke-27. Keghairahan Penang memburu gol memakan diri apabila Merah Kuning melancarkan serangan balas menerusi Faisal Halim sebelum hantarannya disudahkan Del Valle menewaskan Shafiq.
Tersentak, tuan rumah cuba bangkit memburu gol penyamaan. Tetapi barisan pertahanan Selangor yang diketuai Khuzaimi Piee memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.
Babak kedua menyaksikan tuan rumah menggandakan serangan. Bagaimanapun, Merah Kuning yang mengancam terlebih dahulu menerusi Zikri Khalili pada minit ke-47 tetapi sepakan derasnya berjaya diselamatkan Shafiq.
Dengan Penang terdesak memburu kemenangan pertama liga, Penang beberapa kali menguji kecekapan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid. Bagaimanapun, semua percubaan itu mudah ditangkap bekas penjaga gol Sri Pahang itu.
Zaw Min Tun menyangka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-73 tetapi golnya itu dibatalkan kerana ofsaid. Tetapi Penang akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Rafael Vitor pada minit ke-87.
Bagaimanapun, belum sempat Penang meraikan jaringan penyamaan mereka, Selangor kembali di hadapan menerusi pemain tengah Jordan, Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-89. Itu sudah cukup menjamin tiga mata buat Selangor dan Penang terus kempunan kemenangan pertama liga.
Kemenangan ini meletakkan Selangor di tangga kedua liga dengan 10 mata. Manakala Penang pula berada di kedudukan ke-10 liga tanpa sebarang kemenangan liga.