Terengganu FC terlepas peluang menambah kemenangan kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) apabila tewas di tangan Selangor FC dalam aksi terbaru Liga Super.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan selepas masing-masing meraih kemenangan dalam aksi pertama liga. Aksi ini juga penting buat Peteh kerana beraksi di gelanggang sendiri.
Pemain pertahanan Harimau Malaya, Ubaidullah Shamsul Fazili mengemudi benteng tuan rumah. Gandingan Faisal Halim, Kay Tejan dan Chrigor Moraes menjadi sandaran gol jurulatih Selangor, Kim Pan-gon.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan awal di SSMZA. Terengganu yang dibimbing Nafuzi Zain mempertaruhkan Jordan Mintah, Gervane Kastaneer, Elvis Kamsoba dan Victor Ruiz untuk merobek gawang Selangor.
Bek tengah Singapura, Safuwan Baharudin seakan tidak percaya apabila percubaannya pada minit ke-43 sekadar singgah di palang gol.
Kastaneer dua kali menguji penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel menerusi percubaan pada minit ke-37 dan minit akhir babak pertama.
Kesukaran kedua-dua pasukan mencari gol pendahuluan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Nafuzi memasukkan pemain sayap Brazil, Mateus Gustavo atau Mateusinho untuk menambah sengat di bahagian serangan.
Sikh Izhan terus menjadi penghalang Kastaneer. Kali ini, rembatan deras penyerang Curacao itu dinafikan penjaga gol kebangsaan itu pada minit ke-49.
Tatkala tuan rumah terus mengasak, Selangor memecah kebuntuan pada minit ke-59. Anak jati Amsterdam, Belanda itu melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Peteh, Rahadiazli Rahalim.
Gol tersebut merupakan gol pertama Tejan bersama Selangor musim ini selepas menyertai kelab itu baru-baru ini. Empat minit kemudian, giliran Chrigor mencetak gol ketiga beliau dalam liga.
Perlawanan kemudiannya terhenti selama beberapa minit apabila Sikh Izhan berlaga kepala dengan pemain gantian, Romel Morales. Selepas mendapat rawatan di atas padang, anak jati Seberang Prai, Pulau Pinang itu kemudiannya dikejarkan ke hospital.
Tempat Sikh Izhan digantikan oleh penjaga gol, Azim Al Amin Kamaruddin. Azim masuk bersama Adib Ra’op dan A. Selvan sebagai pemain gantian.
Moraes memastikan kemenangan milik The Red Giants dengan gol ketiga pada minit akhir babak kedua. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini, Terengganu akan menentang Penang FC pada 5 September. Selangor pula akan melayan kunjungan Melaka FC pada 6 September.