Selangor memastikan rekod tanpa kemenangan Negeri Sembilan dalam Liga Super berterusan apabila merekodkan kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah hari ini.
Biarpun kembali beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, skuad Rusa kali terakhir merasai kemenangan ialah pada 18 Mei lalu semasa menentang PDRM.
Justeru, anak-anak buah K. Devan berharap dapat mencipta kejutan ke atas Merah Kuning. Bagaimanapun, Selangor yang berstatus pasukan pilihan mahu memperkukuh cengkaman di tempat kedua.
Dan itu dibuktikan pasukan pelawat pada babak pertama menerusi gol Richmond Boakye pada minit ke-27. Boakye yang menerima hantaran Yohandry Orozco melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Firdaus Irman Mohd Fadhil.
Skuad Hoben Jang Hoben yang tempang tanpa dua pemain pinjaman Selangor, Sikh Izhan Nazrel dan Hein Htet Aung cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, The Red Giants terus melebarkan kelebihan menerusi Ayron del Valle pada minit ke-55. Penjaring terbanyak Selangor musim ini mudah menolak bola melepasi Firdaus untuk gol ke-17 dalam liga.
Negeri Sembilan bernasib baik tidak beraksi dengan 10 pemain gara-gara terjahan kaki tinggi yang dibuat Tommy Mawat Bada ke atas del Valle pada minit ke-65.
Walaupun terjahan tersebut dianggap merbahaya, bekas pemain Sabah itu hanya diberi amaran oleh pengadil Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah. Insiden tersebut mengundang rasa tidak puas hati pemain-pemain Selangor dan jurulatih mereka, Tan Cheng Hoe.
Orozco terus menambah derita tuan rumah dengan menyudahkan gerakan cantik pada minit ke-74. Negeri Sembilan terus ditimpa malang apabila Tommy dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.
Peluang ini terus direbut Selangor bagi menambah jaringan keempat menerusi Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-82. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini membolehkan Selangor selesa di tempat kedua dengan 46 mata, enam mata di depan Kedah Darul Aman (KDA). Sementara Negeri Sembilan pula kekal di tangga kesembilan dengan 21 mata.
Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali menyambung aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia. Merah Kuning turun menentang PDRM pada 19 Ogos dengan kelebihan agregat 4-1.
Manakala skuad Rusa berharap dapat mempertahankan kelebihan tipis 1-0 bila menentang Kelantan United di Paroi pada 20 Ogos.