Liga Super: Selangor ‘Toreh’ Kelantan 11-2
Liga Super
Selangor FC
Advertisements

Hasrat Selangor FC untuk menangguhkan keraian kejuaraan liga Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk sehari lagi berjaya selepas membelasah Kelantan FC 11-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini.

Kedua-dua pasukan tampil dengan misi berbeza. Bagi tuan rumah, mereka mahu bangkit semula selepas tewas dengan jumlah jaringan yang besar masing-masing di tangan Terengganu FC dan JDT.

Bagi Selangor pula, mereka ingin menebus maruah selepas dimalukan PDRM FC 2-1 dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia biarpun berjaya mara ke suku akhir.

Advertisements

Malangnya, The Red Giants bermula sumbang apabila Harith Haiqal Adam Afkar menjatuhkan kapten The Red Warriors, Natanael Siringoringo dalam kotak penalti. Natanael tenang menewaskan Samuel Somerville pada minit kelima bagi meletakkan tuan rumah di hadapan.

Belum sempat anak-anak buah Tan Cheng Hoe bangkit, mereka semakin ketinggalan apabila tuan rumah menambah gol kedua menerusi Fadzrul Amir.

Advertisements

Selangor merapatkan jurang menerusi pemain perancang mereka, Yohandry Orozco selepas menyudahkan hantaran kapten Brendan Gan pada minit ke-28.

Kelemahan set-piece Kelantan dimanfaatkan Gergasi Merah dengan Sharul Nazeem menanduk gol penyamaan pada minit ke-31. Ayron Del Valle menambah derita tuan rumah menerusi dua gol pada minit ke-40 dan 44.

Advertisements

Bersambung pada babak kedua, Richmond Boakye menambah gol kelima pelawat pada minit ke-48. Itu juga merupakan gol ke-100 yang membolosi gawang Kelantan musim ini.

Pemain gantian, Faisal Halim yang kembali daripada penggantungan sebulan kembali meledak dengan dua gol dalam tempoh lima minit.

Advertisements

Del Valle memastikan hatrik menerusi gol pada minit ke-63. Tiga gol ini sudah cukup untuk beliau memintas Fernando Forestieri sebagai penjaring terbanyak liga musim ini.

Boakye terus menambah derita tuan rumah dengan gol kesembilan dan ke-10 pada minit ke-77 dan 85. Ini sekaligus hatrik pertamanya bersama Selangor.

Del Valle memastikan malam gemilang The Red Giants dengan gol keempat pada minit ke-87. Ini menjadikan keputusan ini sebagai rekod gol paling banyak dijaringkan dalam sejarah Liga Super.

Kemenangan ini membolehkan Selangor memperkukuh kedudukan di tangga kedua dengan 49 mata. Sementara Kelantan pula kekal di tangga ke-13 liga dengan lapan mata.

Kemenangan ini juga menyaksikan JDT hanya perlu seri atau menang dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) esok bagi meraih kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Selepas ini, Liga Super bakal berehat bagi memberi ruang kepada pasukan kebangsaan yang memenuhi tugasan mereka dalam kalendar antarabangsa FIFA.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram