Sri Pahang meneruskan permulaan baik mereka bagi musim 2023, apabila mencatat kemenangan ketiga dengan mencatat kemenangan 2-1 ke atas PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Rabu.
Skuad Fandi Ahmad bagaimanapun diberi tentangan sengit malah berdepan situasi cemas apabila terpaksa menahan asakan bertali arus PDRM sebelum berjaya mengesahkan kemenangan.
Sri Pahang mendahului pada minit ke-18 setelah pertahanan PDRM tertampan hantaran Baqiuddin Samsudin ke gawang sendiri.
Tiga minit kemudian, kedudukan menjadi 2-0, menerusi gerakan menarik membabitkan Lucas Rodriguez dan Syazwan Andik, yang diakhiri dengan sentuhan penyudah tenang Kpah Sherman.
Sri Pahang bagaimanapun tidak mencipta banyak peluang selepas itu dan hanya bergantung kepada ‘counter-attack’ tatkala PDRM mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan mencipta deretan peluang jaringan.
Setelah banyak peluang terbazir dek ketumpulan serangan mahupun ketangkasan Zarif Irfan di gawang Sri Pahang, tuan rumah berjaya mendapatkan jaringan setelah James Okwuosa menanduk masuk hantaran Amirul Wa’ie Ya’acob pada minit ke-76.
Sri Pahang seharusnya kembali meraih kelebihan dua gol seminit kemudian, namun David Rowley mensia-siakan peluang keemasan di depan gol
Memasuki 10 minit terakhir, PDRM terus bernafsu memburu jaringan penyamaan namun pertahanan skuad tok gajah utuh bertahan dan memastikan tiga mata dibawa pulang.
Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada tujuh perlawanan, dan berjaya melonjak ke tangga keempat dengan 13 mata, mengatasi Sabah menerusi beza jaringan.