Sri Pahang terpaksa akur menelan kekalahan di gelanggang sendiri setelah tewas 2-0 kepada Negeri Sembilan.
Skuad Negeri Sembilan akhirnya meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super setelah tewas tiga perlawanan awal sebelum ini.
Fadhli Shas selaku kapten pasukan memimpin kesebelasan utama Sri Pahang yang turut dibarisi pemain seperti Azrif Nasrulhaq, Manuel Hidalgo, Azam Azih, Azwan Aripin dan Kpah Sherman.
Negeri Sembilan pula membariskan pemain hebat seperti Takumi Sasaki, Mika, Hein Hter Aung, Ikhwan Yazek dan Ramaloo Barathkumar.
Barathkumar membuka tirai jaringan dalam perlawanan ini apabila meledak gol pada minit ke-24 untuk gol pertama buat pasukan Negeri Sembilan.
Sri Pahang memiliki peluang terbaik untuk mengikat Negeri Sembilan pada minit ke-40 tetapi sepakan penalti oleh Stefano Brundo tersasar jauh.
Babak pertama menyaksikan Negeri Sembilan mendahului tuan rumah Sri Pahang dengan jaringan 1-0.
Memasuki aksi separuh masa kedua, Sri Pahang cuba memberi nafas baru dengan membawa masuk pemain seperti David Rowley Mykola Agapov.
Namun beberapa percubaan serangan Sri Pahang gagal membolosi pintu gol Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan menutup peluang untuk Sri Pahang bangkit apabila menambah gol kedua pada masa tambahan babak kedua.
Takumi Sasaki tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk Negeri Sembilan terus selesa berada dihadapan Sri Pahang.
Wisel penamat menyaksikan Negeri Sembilan berjaya menewaskan Sri Pahang dengan jaringan 2-0 untuk mengutip 3 mata pertama dalam saingan Liga Super.
Negeri Sembilan sebelum ini tewas tiga perlawanan awal Liga Super kepada pasukan JDT, Selangor dan KL City selain tersingkir dari pusingan 16 Piala FA di tangan Selangor.
Skuad kendalian Azzmi Aziz seterusnya akan menentang Sabah pada 27 Julai kelak manakala Sri Pahang akan bertemu cabaran KL City.