Liga Super: Terengganu Gah Di Gong Badak, Hadiahkan Kekalahan Pertama Buat Selangor
Dunia
MFL
Advertisements

Perlawanan Liga Super yang menemukan pasukan Terengganu FC selaku tuan rumah melayan kunjungan Selangor FC berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Terengganu dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.

Perlawanan dimulakan dengan Selangor lebih menguasai perlawanan dengan beberapa siri serangan melalui pertahanan kiri mereka, Fazly Mazlan namun percubaannya tersasar.

Manakala pasukan Terengganu dilihat bergelut untuk mengawal permainan dalam 15 minit pertama disebabkan tekanan tinggi yang dilakukan pemain Selangor.

Advertisements

Terengganu akhirnya memecah kebuntuan selepas Faisal Halim menjaringkan gol pada minit ke-20. Gol itu dijaringkan melalui larian Faisal yang berjaya memperdaya beberapa pertahanan sebelum merembat deras menewaskan Khairulazhan di gawang Selangor. Terengganu mendahului Selangor 1-0.

Tersentak dengan gol itu, Selangor terus melancarkan serangan untuk mendapatkan gol penyamaan. Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-25 melalui Caion namun rembatan pemain Brazil itu berjaya diselamatkan Rahadiazli.

Pemain sayap Terengganu, Syafik Ismail hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-37 namun rembatannya sedikit tersasar di kiri gawang Selangor.

Advertisements

Malang buat Faisal Halim apabila beliau terpaksa dikeluarkan pada minit ke-38 kerana mengalami kecederaan peha.

Pada minit ke-43, Shahrel Fikri mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan selepas beliau berjaya menanduk bola hasil hantaran lintang Quentin Cheng. Namun tandukannya sedikit tersasar.

Perlawanan separuh masa pertama ditamatkan selepas 5 minit masa tambahan. Namun tiada jaringan tambahan dan keputusan kekal memihak kepada Terengganu dengan kedudukan 1-0 mendahului Selangor.

Advertisements

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat membuat beberapa pertukaran untuk memperkemaskan corak permainan.

Selangor berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-51 melalui Syahir Bashah namun rembatannya ditepis oleh Rahadiazli. Penjaga gol muda Terengganu itu juga sekali lagi cemerlang untuk menyelamatkan percubaan susulan dari Yazan Al-Arab selepas itu.

Terengganu akhirnya berjaya menggandakan kedudukan melalui Tchetche Kipre pada minit ke-59 hasil sepakan penalti. Penalti itu dihadiahkan kepada Terengganu selepas Yazan Al-Arab menjatuhkan Syafik Ismail di dalam kotak penalti. Gol penalti tersebut menjadikan kedudukan 2-0 memihak Terengganu.

Advertisements

Selepas gol kedua pasukan Terengganu, perlawanan dilihat sedikit tegang dengan beberapa insiden kekasaran dari kedua-dua pasukan namun pengadil bertindak bijak untuk menenangkan keadaan.

Kipre hampir menambah jaringan buat Terengganu pada minit ke-68 namun rembatan deras beliau tepat ke tangkapan Khairulazhan. Percubaan tersebut sangat menarik selepas Kipre berjaya merampas bola dari kecuaian Sharul Nazeem dalam kotak penalti namun penyudahnya tidak begitu baik.

Manuel Ott mempunyai peluang keemasan pada minit ke-78 namun rembatan jarak dekatnya sedikit tersasar. Manakala selang dua minit selepas itu percubaan Kipre berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh Khairulazhan.

Perlawanan ditamatkan selepas 4 minit masa tambahan. Tiada gol tambahan yang dijaringkan sekali gus kemenangan menjadi milik Terengganu dengan menewaskan Selangor 2-0.

Kemenangan Terengganu ini menyaksikan mereka mencatat kemenangan kedua musim ini dan kini menghuni tangga ke-7 Liga Super dengan 6 mata. Manakala kekalahan Selangor ini pula merupakan kekalahan pertama mereka musim ini dan mereka kini berada di tangga ke-8 liga dengan 5 mata.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram