Perlawanan saingan Liga Super minggu ke-16 petang ini menyaksikan Terengganu berjaya menewaskan Kelantan DN di Stadium Selayang.
Kedua-dua pasukan membariskan kesebelasan utama terbaik bagi memburu tiga mata penuh.
Terengganu membuka jaringan seawal minit kesebelas permainan menerusi Alif Zakaria dengan rembatan deras dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol.
Peluang terbaik Kelantan DN hadir pada minit ke-41 permainan, namun sepakan Zuasyraf Zulkifle berjaya dihadang kemas oleh pertahanan Terengganu.
Separuh masa pertama tamat, Terengganu 1-0 Kelantan DN.
Tiga pertukaran serentak dibuat oleh Kelantan DN dengan memasukkan dua pemain tengah, Adam Daniel dan Haziq Subri. Manakala seorang pemain pertahanan, Afzal Akbar menggantikan Ghaffar Abdul Rahman.
Pada minit ke-64, giliran ketua pasukan Terengganu, Safawi Rasid meledak jaringan kedua pasukan sekaligus menjarakkan lagi jumlah gol.
Lima minit sebelum tamat permainan, Kelantan DN menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti yang diambil oleh Oday Kharoub.
Terengganu bawa pulang tiga mata berharga tewaskan Kelantan DN 2-1.
Selepas ini, Kelantan DN akan berdepan PDRM dan Terengganu bertemu Kuching City pada 18 Disember ini.