Liga Super: Perangkap Terengganu Menjadi, Sri Pahang ‘Lemas’ Di Tempat Lawan
Liga Super
Advertisements

Perlawanan ke-18 Liga Super 2021 melibatkan pertembungan antara pasukan Terengganu FC dan juga Sri Pahang Fc di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berkesudahan dengan kemenangan penuh dramatik berpihak kepada pasukan Terengganu dengan jaringan 2-0.

Pasukan pelawat bermula garang di awal minit permainan melalui gerakan-gerakan pendek untuk melepasi rantaian trio pemain tengah pasukan Terengganu. Terdapat dua percubaan yang berjaya dilakukan oleh pemain Sri Pahang untuk menguji gawang gol Terengganu yang dikawal rapi oleh Suhaimi Husin.

Tersentak dengan gerakan tersebut, Terengganu dilihat sedikit mendominasi permainan memasuki 15 minit perlawanan, namun usaha untuk menembusi barisan pertahanan pasukan lawan dilihat sedikit terganggu apabila hantaran-hantaran yang dilakukan tidak tepat dan liar untuk mencari pemain serangan yang diketuai oleh David Da Silva.

Advertisements

Terengganu memperoleh jaringan pendahuluan dalam perlawanan tersebut ketika gerakan lincah Faiz Nasir untuk masuk ke dalam kotak penalti gagal disekat lalu bola singgah di kaki penyerang import Terengganu itu yang mudah untuk melepaskan satu rembatan menembusi gawang pasukan Sri Pahang.

Sri Pahang mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila gerakan satu dua di bahagian sayap kanan berjaya menghasilkan satu hantaran lintang cantik, namun tandukan Kenjok Athiu singgah di palang gol dan tindakan susulan rakan sepasukan juga gagal dimanfaatkan dengan baik.

Namun begitu, kealpaan barisan pertahanan Sri Pahang terus dihukum oleh larian deras pemain gantian, Hakimi Abdullah yang mengasak pertahanan kanan pasukan pelawat yang gagal dikawal lalu memberi peluang mudah untuk Faisal Halim menjaringkan gol menerusi satu hantaran lintang oleh Faiz Nasir.

Advertisements

Perlawanan pada babak pertama berkesudahan dengan dua jaringan gol memihak kepada pasukan kendalian Nafuzi Zain.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang dilihat lebih agresif untuk mengatur serangan. Hasilnya, beberapa kali gawang gol pasukan Terengganu berjaya diuji melalui rembatan kencang namun berjaya diselamatkan dengan baik.

Terengganu dilihat lebih selesa mengawal bola menerusi trio import mereka yang dilihat lebih dominan sehingga menenggelamkan aksi pemain tengah pasukan negara, Azam Azih yang tidak dapat dikesan dalam perlawanan ini.

Advertisements

Jentera serangan pasukan kendalian Dollah Salleh dilihat sedikit buntu untuk menembusi kawalan rapi barisan pertahanan Terengganu yang cukup berdisiplin merantai pergerakan pasukan Sri Pahang. Sungguhpun ada beberapa percubaan yang berjaya menguji tuan rumah, namun tiada sebarang gol berjaya dihasilkan.

Kemenangan ini berjaya merapatkan kedudukan Terengganu yang mengumpul 37 mata selepas 18 perlawanan, hanya 5 mata dipisahkan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim. Ini sekaligus memberi kelegaan buat Nafuzi Zain setelah keciciran mata pada beberapa perlawanan sebelum ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram