Hasrat Perak melakar kebangkitan di bawah jurulatih sementara, Yusri Che Lah tidak kesampaian hari ini. Ini selepas Terengganu mudah melakar kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah di Stadium Perak.
The Bos Gaurus berharap pasukan kembali bangkit selepas merehatkan Datuk Lim Teong Kim memulakan perlawanan dengan langkah kiri. Cubaan Bryan See mengeluarkan bola gagal apabila ia mudah ditolak Adisak Kraisorn ke dalam gawang Perak pada minit keenam.
Tersentak, Seladang cuba bangkit mencari gol penyamaan. Malangnya, skuad Peteh menambah gol kedua menerusi Sony Norde pada minit ke-16 selepas menerima hantaran Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.
Perak berusaha mencari gol bagi merapatkan jurang tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat. Separuh masa kedua menyaksikan The Bos Gaurus menggandakan serangan bagi mencari gol.
Dan mereka hampir melakukannya pada minit ke-46 menerusi Luciano Guaycochea. Kapten baru Seladang itu merebut bola daripada pertahanan Penyu sebelum merembat ke arah gawang yang dikawal Suhaimi Husin tetapi sepakannya tersasar.
Penjaring terbanyak skuad Penyu, Ivan Mamut hampir mengejutkan Bryan pada minit ke-63 menerusi satu sepakan lencong yang jauh. Bagaimanapun, bekas penjaga gol Bangkok FC itu lega apabila sepakan penyerang Croatia itu tersasar.
Percaturan jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner membawa masuk Jordan Mintah dan Engku Nur Shakir Engku Yaacob membawa kepada gol ketiga pelawat. Mintah mudah menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Norde pada minit ke-73 bagi menjamin kemenangan selesa Terengganu.
Dengan keputusan ini, Terengganu menduduki tempat keenam liga dengan 20 mata, satu mata di hadapan KL City di tempat ketujuh. Manakala Perak pula kekal di tangga ke-11 liga dengan sembilan mata.
Selepas ini, Perak perlu berdepan Kedah di Stadium Darul Aman pada 7 Jun. Manakala Terengganu yang beraksi di gelanggang sendiri perlu berhadapan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 9 Jun.