Terengganu tumpas 0-2 kepada pasukan Penang dalam aksi minggu ke-14 saingan Liga Super musim 2025/26 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
Terengganu membariskan Syed Nasrulhaq di benteng terakhir dan Careca menjadi ayam tambatan pasukan dengan Shahrul Nizam menggalas lilitan kapten.
Sementara itu, Penang menurunkan Ramdhan Hamid di bahagian penjaga gol dan Tchetche Kipre di jentera serangan.
Sang Penyu dilihat melakukan beberapa serangan berbahaya pada awal babak pertama aksi dengan kelincahan Akhyar Rashid dan Careca.
Penang turut melepaskan beberapa percubaan tepat ke arah kubu Terengganu menerusi Tchetche Kipre namun gagal menepati sasaran.
Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan meskipun kedua-dua pasukan melakukan banyak percubaan.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol pembukaan aksi.
Terengganu dilihat melancarkan beberapa percubaan tepat menerusi Akhyar Rashid dan Junior Sam namun segala percubaan berjaya dipatahkan oleh pihak lawan.
Kesilapan kecil di benteng Terengganu membawa padah apabila Tchetche Kipre tanpa mensia-siakan peluang meledak gol pada minit ke-69, hasil sepakan clearance Syed Nasrulhaq yang gagal menemui rakan sepasukan, sekali gus menghadiahkan kelegaan besar buat kem Penang.
Memasuki minit ke-75, kedudukan masih didahului oleh pasukan pelawat, Penang dengan satu jaringan.
Tchetche Kipre berjaya menambah gol kedua aksi & peribadi pada masa kecederaan separuh masa kedua sekali gus memastikan Harimau Kumbang membawa pulang 3 mata penuh.
Aksi tamat dengan keputusan 0-2 memihak kepada pasukan pelawat, Penang.