Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Terengganu. Ini selepas anak-anak buah Tomislav Steinbruckner diikat tanpa jaringan oleh KL City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Babak pertama menyaksikan tuan rumah berusaha memburu gol pembukaan. Dua peluang terbaik mereka hadir menerusi penyerang Thailand, Adisak Kraisorn tetapi kedua-dua percubaannya dinafikan penjaga gol City Boys, Kevin Ray Mendoza.
Anak-anak buah Bojan Hodak juga berpeluang meraih gol pertama. Peluang terbaik mereka muncul menerusi bekas penyerang import Selangor, Herlison Caion tetapi percubaannya dinafikan penjaga gol Peteh, Rahadiazli Rahalim. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, kedua-dua pasukan mula menggandakan asakan. KL City hampir di hadapan menerusi Zamri Yahaya pada minit ke-50 tetapi rembatan derasnya berjaya ditepis Rahadiazli dengan cubaan susulan pemain City Boys turut disekat pertahanan Terengganu.
Tetapi peluang terbaik KL City hadir pada minit ke-61 menerusi Haqimi Azim. Haqimi yang menerima hantaran kapten Paulo Josue melepaskan sepakan ke arah gol Terengganu tetapi Rahadiazli tangkas menepis bola sepakannya keluar.
Melihat jentera serangan kedua-dua pasukan tumpul, Bojan dan Steinbruckner membuat pertukaran. Steinbruckner memasukkan Omid Nazari menggantikan Adisak dengan Bojan pula memanggil bekas pemain import Penyu, Tchetche Kipre menggantikan Patrick Reichelt.
Di sebalik semua pertukaran yang dibuat, keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini meletakkan KL City di tangga ke-11 liga dengan skuad Penyu terus terperosok di tangga tercorot.
Dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan dan tanpa sebarang gol, Steinbruckner perlu bertindak segera menangani kemerosotan pasukan. Jika tidak, sebarang aspirasi yang mahu dicapai musim ini termasuk dalam Piala AFC musim ini akan gagal sama sekali.