Venue aksi Liga Super antara Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dan Kuching City FC pada 29 Ogos ini telah diubah dari Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) ke Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Perubahan lokasi perlawanan itu diumumkan Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
MFL mengumumkan kemas kini perlawanan Liga Super dengan mengambil kira cabutan undi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan permintaan pasukan-pasukan.
Kemas kini terbaru menyaksikan Kelantan RW akan menentang Kuching City di STAR pada 29 Ogos ini. Perubahan ini dilihat ada kaitan dengan SSMIV digunakan untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Kelantan.
Selain perubahan venue perlawanan, waktu perlawanan juga diubah dari waktu malam ke waktu siang. Aksi Kelantan RW menentang Kuching City kini akan berlangsung pada jam 5.00 petang.
Pertukaran venue ini dijangka memberi peluang kepada penyokong kedua-dua pasukan terutama di Lembah Klang dan Negeri Sembilan untuk hadir memberi sokongan di STAR.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam aksi persahabatan yang diadakan di Stadium Mindef pada awal Ogos lalu. Perlawanan tersebut menyaksikan Kuching City mengatasi Kelantan RW 2-0.