Lim Teong Kim Anggap Kehilangan Sunday Afolabi Ganggu Rentak Perak

Datuk Lim Teong Kim Perak FC 1 1 Lim Teong Kim Anggap Kehilangan Sunday Afolabi Ganggu Rentak Perak
Perak FC
Azim Noor @mohdazim45
3:32pm 13/03/2023

Kemenangan 2-0 ke atas Kuching City merupakan kemenangan pertama Perak dalam saingan Liga Super. Tetapi seri kemenangan The Bos Gaurus sedikit tercalar apabila kehilangan bek tengah import mereka, Sunday Afolabi akibat kecederaan.

Ini memaksa jurulatih Seladang, Datuk Lim Teong Kim memasukkan Raja Imran Shah bagi menggantikan Sunday. Walaupun mengakui ketiadaan Sunday sedikit meresahkan, barisan pemain Perak mempamerkan persembahan mantap dengan Seo Seon-ung menyumbat dua gol untuk tuan rumah.

“Ganggu tak ganggu, kamu sendiri lihat apa berlaku kan (kecederaan Sunday). Ganggu sikitlah tapi tak banyaklah kerana pemain lain lakukan tugas mereka dengan bagus.

“Boleh kata saya berpuas hati dengan cara permainan pemain (Raja Imran Shah) yang menggantikan (Sunday). Jadi, tak ada masalah,” kata Teong Kim dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.

Menariknya, perlawanan semalam menyaksikan pasukan Seladang tidak berdepan sebarang layangan kad merah. Ini menunjukkan para pemain lebih berdisiplin dan mampu mengawal emosi mereka.

Tetapi bagi membentuk pasukan yang mantap memerlukan masa dan kesabaran – satu mesej yang disampaikan Teong Kim kepada para penyokong di luar sana.

“Berikan saya masa dan saya akan beri anda skuad yang baik, disebabkan ia satu proses, segalanya tentang proses dalam bola sepak.

“Masalahnya ialah orang tidak sabar, mereka letak terlampau banyak tekanan. Kita tidak mempunyai pemain yang mahal, kita mempunyai pemain-pemain yang kurang berpengalaman. Jadi, ini tentang masa, berikan kita masa,” tambahnya.