Lim Teong Kim: Selepas Perlawanan Mesti Ada Penggantungan

Lim Teong Kim Perak FC Lim Teong Kim: Selepas Perlawanan Mesti Ada Penggantungan
Perak FC
Azim Noor @mohdazim45
11:00pm 15/03/2023

Liga Malaysia (Liga M) musim ini menyaksikan Perak mengutip tiga kad merah. Dan walaupun anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim dilihat mula mengawal emosi mereka, bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu tahu ia boleh saja berubah terutama jika termakan provokasi pihak lawan.

Isu disiplin ini menghantui The Bos Gaurus terutama selepas Haziq Puad dan Sunday Afolabi dibuang padang dalam kekalahan 4-1 mereka di tangan Kedah. Malah, ia juga banyak dibangkitkan pihak media setiap kali Teong Kim menghadiri sidang media.

Tetapi beliau percaya anak-anak buahnya sudah belajar daripada apa yang berlaku lebih-lebih lagi majoriti pemain Perak merupakan pemain muda. Dan itu sudah dibuktikan dalam kemenangan ke atas Kuching City beberapa hari lepas.

“Untuk perlawanan esok, tiada penggantungan. Tetapi selepas perlawanan, mungkin ya ada penggantungan,” jawabnya secara berseloroh semasa ditemubual Fadhirul Shuhaimi untuk Astro Arena.

Walaupun jawapan tersebut hanyalah sekadar gurauan, sudah pasti para penyokong Perak berharap disiplin yang ditampilkan anak-anak buah Teong Kim sebelum ini dapat dikekalkan.

Ini kerana lawan mereka, Sri Pahang sudah pasti akan mengambil kesempatan daripada hal tersebut. Anak-anak buah Fandi Ahmad membenam Perak 2-1 dalam pusingan pertama Piala FA dengan tuan rumah bermain dengan 10 orang selepas Fadhil Idris dibuang padang.

Skuad Seladang berpeluang merekodkan kemenangan kedua di gelanggang sendiri dengan melayan kunjungan skuad Tok Gajah di Stadium Perak esok.