Dengan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berlangsung esok, jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee sedar bukan mudah bagi anak-anak buahnya meraih kemenangan. Atas sebab itu, beliau berharap lima pemain Badak yang baru pulang dari tugasan pasukan kebangsaan dapat merealisasikan matlamat tersebut.
Lima pemain yang dimaksudkan ialah penjaga gol Damien Lim, duo pertahanan Dominic Tan dan Daniel Ting, pemain tengah Stuart Wilkin dan penyerang Darren Lok. Kudrat mereka amat ditagih Kim Swee selepas beberapa pemain tonggak Badak dilaporkan mengalami kecederaan.
Begitupun, sebarang keputusan untuk menyertakan mereka bergantung kepada penilaian tahap kecergasan. Ini selepas mereka telah mengharungi dua perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong baru-baru ini.
“Kita tahu ada pemain yang bermain sebanyak dua perlawanan, ada juga bermain hanya satu perlawanan. Ini juga harus diambil kira dan bagi saya mereka adalah pemain yang sangat penting,” katanya bila dihubungi oleh Arena Metro.
Selain menilai tahap kecergasan mereka, Kim Swee ingin mengetahui status beberapa pemain yang cedera untuk perlawanan esok. Ketika ini Telmo Castanheira, Saddil Ramdani, Jailton Paraiba dan Gary Steven Robbat masih menjalani proses pemulihan.
Sebarang keputusan untuk menyertakan mereka dalam perlawanan esok akan ditentukan oleh laporan perubatan. “Mereka masih mengalami kecederaan dan kita bergantung penuh kepada laporan perubatan untuk menentukan kedudukan mereka,” tambahnya.