Bekas tonggak Terengganu FC, Liridon Krasniqi berterima kasih kepada kelab Switzerland, FC Schaffhausen kerana memberinya peluang beraksi di atas padang.
Sebelum ini, pemain tengah berusia 33 tahun itu pernah dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2024/25.
Liridon kemudiannya memilih menjalani sesi pemilihan dengan FCS selama beberapa minggu sebelum menyertai skuad kedua pasukan berkenaan.
Atas sebab itu, beliau cukup berterima kasih kepada pengurusan kelab Switzerland kerana memberinya peluang beraksi di atas padang.
“Gembira dapat beraksi di atas padang. Terima kasih kepada FC Schaffhausen kerana sudi mengalu-alukan dan memberi kepercayaan kepada saya,” katanya di Instagram.
Selain Terengganu, Liridon yang mesra disapa Mat Don pernah beraksi untuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Melaka United FC, Mlada Boleslav, Odisha, Newcastle Jets dan Khon Kaen United.
Beliau bukan satu-satunya pemain baru yang dibawa untuk skuad kedua FCS. FCS turut merekrut Ristem Osmani, Edi Hassani, Luca Rossetto dan Federico Ivanaj.